Hadi Awang tidak lagi sekeras dulu tolak Muafakat Nasional - Tajuddin - Utusan Malaysia

Hadi Awang tidak lagi sekeras dulu tolak Muafakat Nasional – Tajuddin

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hadi Awang diilihat sudah ‘tidak sekeras dahulu’ yang lantang menolak kerjasama dengan UMNO sekali gus memperlihatkan Presiden Pas itu kian berlembut ingin memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia berdasarkan beberapa kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hadi yang turut disambut beberapa pemimpin Pas lain berhubung kerjasama berkenaan.

“Saya perhati kenyataan dia (Abdul Hadi) menunjukkan yang dia tidak sekeras dulu, sudah berlembut. Dia sendiri pun kata, MN belum tamat lagi, kita belum bincang lagi. Itu apa maksudnya?

“Walaupun dulu dia pernah kata UMNO macam itik patah kaki, itu dulu. Waktu itu tengah panas. (Kalau) orang kata dia rasa diri dia hebat, tetapi sekarang dia baru sedar yang diri dia tidak hebat macam dulu,” katanya.

Januari lalu, Abdul Hadi dalam kenyataannya mengumpamakan UMNO seperti ‘itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh’.

“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14,” jelas Abdul Hadi.

Bagaimanapun, dalam kenyataan Presiden Pas itu yang terbaharu pula berkata, beliau tidak mahu MN yang dibentuk bersama UMNO hampir tiga tahun lalu terkubur dengan mudah.

Malah beliau turut yakin masih ada peluang memperbaiki hubungan dalam kerjasama itu dengan UMNO.

Mengulas lanjut kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan MN sudah sampai ke ‘surah akhir’, Tajuddin berkata, pemimpin kanan UMNO itu perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kesatuan bangsa Melayu dan umat Islam.

“Tok Mat ‘mengaji’ tak habis. ‘Surah’ tentang MN dia baca tak habis. Baca dulu, kalau kita mengaji al-Quran, kena baca dengan betul, tajwidnya, apa terjemahan dan tafsirannya.

“Begitu juga MN, baca dulu apa kandungan, pengajaran dan garis panduannya. Kalau al-Quran satu panduan tentang kehidupan, begitu juga dengan MN menerusi piagam yang ditandatangani secara musyawarah untuk menyatukan umat Islam di negara ini,” katanya.

Tambah Tajuddin, selaku orang nombor dua UMNO, Mohamad perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang mewakili suara parti.

“Di bawah sana rakyat masih lagi mahu akar umbi UMNO dan Pas, mahu pemimpin bawahan, mahu rakyat jelata, mereka mahukan Melayu bersatu, ummah bersatu,” katanya.

Mohamad sebelum ini berkata, tindakan Pas tidak menepati janji dan bersikap konsisten adalah punca kerjasama dalam MN ‘tergelincir’ kerana parti itu tetap memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Kata Mohamad dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia: “Sebenarnya kita tidak pernah pun tinggalkan mereka. Mereka yang tinggalkan MN. Mereka yang sekejap begitu, sekejap begini. Di Melaka, kita ajak bersama dalam satu pasukan, dengan syarat mereka guna lambang sendiri. Tetapi mereka tak nak, mereka nak dengan PN. Tak apalah, kita tak ada masalah.

“Tetapi kemudiannya mereka pula kata kita yang khianat. Itu yang pelik. UMNO tak pernah khianati MN. Itu sebabnya bila orang tanya saya pasal MN, saya kata MN ini sudah sampai kepada ‘surah akhir’ kita. Cuma sama ada nak khatam sahaja atau tidak sahaja”. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya