SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan permohonan untuk menarik diri daripada mewakili guru yang disaman balas oleh pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam berhubung gurauan isu rogol.
Permohonan menarik diri daripada mewakili Khairul Nizam Sanuddin, 44, difailkan di Mahkamah Sesyen Klang (Bahagian Sivil) semalam dan turut dilampirkan dengan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Peguam Persekutuan Muhairi Mohamed Noh.
Berdasarkan afidavit sokongan, permohonan tersebut dibuat kerana Khairul Nizam masih lagi diwakili peguamnya dan wujud pertindihan dalam perwakilan.
“Permohonan ini tidak menimbulkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak dalam tindakan ini,” kata afidavit sokongan itu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 75 ahli Parlimen mendesak Peguam Negara menarik semula pembelaan terhadap guru dan bekas guru besar berhubung saman balas yang difailkan Ain Husniza Saiful Nizam dan bapanya.
Ini selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan seorang Peguam Kanan Persekutuan untuk membela guru dan bekas guru besar dalam saman balas yang difailkan oleh mereka.
Pada 4 Mac lalu, Ain Husnina atau nama sebenarnya Nurain Husniza ,18 dan bapanya, Saiful Nizam Ab. Wahab ,43, yang disaman gurunya memfailkan tuntutan balas dengan menamakan Khairul Nizam, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Sarimah Mohammed Nor dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M. Noh masing-masing sebagai defendan.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan kerajaan Malaysia yang merupakan defendan keempat dan kelima.
Ain Husniza menerusi bapanya mendakwa guru terbabit memulakan pembelajaran bertajuk ‘Serangan Seksual Dan Kelakuan Aksi Seksual, Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual, Punca dan Kesan Gangguan Seksual’ kepada kesemua pelajar kelas 5 Fitrah sekolah berkenaan.
Menurut plaintif pertama (Ain Husniza) ia merupakan kali pertama kelas pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (PEERS) diajar dengan mencampurkan kehadiran pelajar lelaki dan perempuan sedangkan kelas tersebut sebelum ini diasingkan mengikut jantina.
“Defendan pertama memulakan sesi tersebut dengan memperkenalkan pelbagai bentuk gangguan seksual dan kemudiannya, defendan pertama dengan sengaja mengungkapkan beberapa pernyataan yang tidak sopan dan jenaka-jenaka lucah,” kata plaintif.
Sebelum itu pada April tahun lalu, Khairul Nizam memfailkan saman dengan menamakan Nurain Husniza dan bapa remaja itu Saiful Nizam masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, dia yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJK) di sekolah terbabit menyentuh sub-topik ‘Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual’, ‘Katakan Tidak Kepada Amang Seksual’ serta ‘Kesan dan Akibat Amang Seksual’ yang terkandung di bawah tajuk PEERS.
Dia walau bagaimanapun menafikan membuat lawak lucah atau lawak berkaitan rogol sepanjang sesi pembelajaran PJPK tersebut serta tiada galakan kepada perlakuan tersebut sebaliknya itu adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran.
Khairul Nizam sepanjang sesi pembelajaran itu turut mendakwa dia menekankan kesan dan akibat gangguan seksual kepada pemangsa dan mangsa. -UTUSAN










