KANGAR : Seorang lelaki menyesal tidak sudah selepas wang miliknya berjumlah RM246,000 lesap tidak sampai sebulan akibat terpedaya dengan kenalannya yang memperkenalkan sebuah pelan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan lumayan tiga tahun lalu.
Ekoran itu, mangsa yang juga seorang ahli perniagaan berusia 33 tahun melakukan beberapa kali pemindahan wang dari 9 sehingga 30 Disember 2019 sehingga mencecah nilai tersebut.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, mangsa pada mulanya telah ditawarkan menyertai pelan pelaburan saham ‘KBTE’ oleh kenalannya melalui aplikasi Wechat yang menjanjikan pulangan lumayan.
Katanya, selepas mendapat penerangan mengenai pelaburan tersebut, mangsa telah membuat pemindahan wang permulaan berjumlah RM13,000 ke akaun yang diberikan oleh suspek pada 9 Disember 2019.
Ujarnya, suspek kemudian memberi jaminan mangsa boleh memperolehi keuntungan lebih besar sekiranya menambah jumlah pelaburan.
“Mangsa yang mempercayai kata-kata suspek telah memindahkan lagi wang tambahan pelaburan sehingga mencecah RM246,000 dalam tempoh sebulan bermula dari 9 Disember sehingga 30 Disember 2019.
“Ketika mangsa mahu menuntut modal serta pulangan pelaburan, suspek memberi pelbagai alasan sehingga akhirnya mangsa membuat laporan polis pada Rabu lalu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihak polis akan mengumpul maklumat pemilik akuan bank digunakan suspek untuk transaksi pelaburan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Yusharifuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan iklan pelaburan di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Telegram.
“Sila buat semakan terhadap skim pelaburan di laman sesawang Bank Negara Malaysia dan senarai peringatan pelabur di laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti.
“Orang ramai juga boleh melakukan semakan dan rujukan berkaitan jenayah komersial menerusi aplikasi semak Mule Account,” katanya. – UTUSAN










