FAMA Fest Pulau Pinang 2022 sasar nilai jualan hingga setengah juta - Utusan Malaysia

FAMA Fest Pulau Pinang 2022 sasar nilai jualan hingga setengah juta

MUHAMAD Mustahapa Awang (kanan) bersama Mohd. Azraie Ramli (kiri) ketika sidang akhbar mengenai Penang Fama Fest 2020 di Pejabat FAMA Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sehingga RM500,000 untuk program Fiesta Makanan, Bunga dan Buah (FAMA Fest) 2022 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 22 Jun ini.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Muhamad Mustahapa Awang berkata, pada masa sama, pihaknya yakin karnival yang akan dilangsungkan di tapak parkir Pasaraya Lotus’s Seberang Jaya itu mampu menarik kehadiran sehingga 50,000 pengunjung.

“Penang FAMA Fest 2022 ini merupakan lanjutan daripada program Penang FAMA Fest yang diadakan pada 2018 dan 2019 yang lalu, namun tidak dapat dilaksanakan untuk dua tahun berikutnya (2020 dan 2021) susulan pandemik Covid-19.

“Justeru, usaha untuk memulih serta merancakkan semula ekonomi tempatan melalui penganjuran program seumpama ini kali ini pastinya amat dinanti-nantikan oleh usahawan yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman program tersebut yang turut dihadiri Pengarah FAMA negeri, Mohd. Azraie Ramli.

Seramai 130 usahawan tani dengan sebahagian besarnya merupakan usahawan tempatan dari negeri ini diberikan ruang untuk memasarkan hasil pertanian mereka kali ini dengan 11 kluster serta 84 lot usahawan disediakan untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, Muhamad Mustahapa berkata, ketika ini pelbagai aktiviti menarik disusun dalam usaha memeriahkan program itu termasuk Jualan MyRakyat yang membawa hampir 100 jenama produk usahawan industri asas tani khususnya bumiputera untuk diketengahkan.

“Selain itu, FAMA juga membawakan sehingga 30 tan metrik produk jualan terus dari ladang dan kilang seperti buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pelbagai jenis durian, ‘Cempedak King’, jagung, nanas MD2 (jenis premium) dan lain-lain.

“Turut dibawa ialah beberapa produk keluaran Agromas dan ‘signature product‘ Pulau Pinang (produk yang beridentitikan Pulau Pinang) seperti durian ‘crepe‘ serta produk hasilan durian yang lain,” katanya yang memberitahu, jualan orkid serta keladi ‘viral’ juga dijangka menjadi tumpuan sempena program berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memperkasakan aspek pemasaran dan promosi durian yang dijangka tinggi dari segi pengeluaran dan permintaannya pada program itu dengan menggunakan aplikasi Sistem Agro Fun.

Katanya, usahawan tempatan seharusnya merebut peluang itu untuk membantu memasarkan produk mereka sekali gus menambah pendapatan selepas fasa peralihan endemik ini.

“Kita juga jangkakan pelbagai promosi yang dijalankan pada program ini akan memberi manfaat kepada pelanggan yang hadir secara fizikal ke lokasi.

“Sementara itu, pelanggan yang membeli melalui platform Agrobazaar ‘online‘ semasa program juga akan berpeluang menerima baucer pembelian dalam talian sehingga RM20,000 yang disediakan oleh FAMA,” katanya yang menambah, tarikan lain ialah Empayar Makanan yang membawakan pelbagai menu makanan popular ketika ini.

Tambah Muhamad Mustahapa, FAMA Fest 2022 kali ini dianggap sebagai program ‘serampang dua mata’ untuk pihaknya mempromosikan Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2022) yang akan diadakan pada 4 hingga 14 Ogos depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN