Derita 2,000 penduduk, lalat bercampur dengan makanan

Derita 2,000 penduduk, lalat bercampur dengan makanan

Isu lalat yang membimbangkan kira-kira 2,000 penduduk
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Penduduk tiga buah kampung di Mukim Terap, di sini mahu pihak berwajib campur tangan segera bagi menyelesaikan isu lalat yang dipercayai berpunca daripada ladang ayam berdekatan.

Dakwa mereka, isu yang berlarutan sejak 20 tahun lalu itu masih berulang setiap kali haiwan itu dibawa keluar dari ladang ternakan untuk ke pasaran sehingga menimbulkan resah dalam kala­ngan penduduk di Kampung Terap, Kampung Terap Batu 10 dan Kampung Bendang Sera.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terap Batu 10, Annuar Mansor berkata, kehidupan kira-kira 2,000 penduduk terganggu disebabkan masalah tersebut.

Katanya, penduduk yang pa­ling teruk terkesan ialah mereka yang tinggal di Kampung Terap Batu 10 kerana kedudukannya yang hanya berjarak 100 ke 200 meter dari tiga buah ladang berhampiran.

“Walaupun ada penternak yang menjalankan operasi ladang secara tertutup, namun ia tidak melibatkan keseluruhannya kerana masih ada penternak menjalankan ladang secara terbuka yang kami rasa tidak sesuai dengan keadaan semasa.

“Bayangkan setiap hari penduduk diganggu lalat sehingga nak makan pun terpaksa menghalau lalat dahulu dan adakalanya lalat sudah bercampur dengan makanan kami.
“Itu belum lagi penderitaan yang dihadapi oleh pengusaha kedai makan di kawasan ini sehingga pelanggan yang nak da­tang ke kedai terus beredar begitu sahaja,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Annuar, walaupun pihak penternak membantu penduduk dengan memberi kertas perangkap serangga dan alat semburan bagi menghalau lalat, namun ia tidak berhasil kerana jumlah lalat yang terlalu banyak.

Jelasnya, keadaan itu juga menimbulkan pandangan serong daripada pengunjung luar yang datang ke situ, misalnya jika diadakan majlis kenduri perkahwinan atau kenduri ke­syukuran.

Sementara itu, seorang penduduk, Shahrezal Hassan, 38, mahukan pihak berkuasa menyelesaikan isu itu serta bersimpati dengan masalah dihadapi rakyat.

“Sampai bila penduduk di sini akan dibelenggu dengan masalah lalat, setiap kali ayam keluar dari ladang selama dua atau tiga minggu kami terpaksa berdepan isu sama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN