KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan semakan yang difailkan anak sulung bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung syarat penyerahan pasport miliknya yang merupakan salah satu syarat jaminan dalam kes gagal mengisytiharkan harta.
Pada 8 April lalu, Asnida mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mematuhi terma notis oleh SPRM bertarikh 8 November 2023 apabila gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam syarikat Amiraz Sdn. Bhd., Arida Farms Sdn. Bhd., Kangkung Catering Sdn. Bhd., Transgrade Sdn. Bhd. dan Gajah 3 Foods Sdn. Bhd.
Mahkamah ketika itu membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan penyerahan pasport kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak bagi permohonan semakan terhadap perintah yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen ke atas Asnida, 65, sebelum ini.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan pasport milik wanita itu dipulangkan secara kekal dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.
“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat tidak ada merit untuk tujuan pasport ditahan oleh mahkamah.
“Isu bahawa keingkaran untuk hadir, ini tidak dibuktikan. Jadi, mahkamah ini membenarkan permohonan semakan ini dan pasport pemohon dikembalikan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip membantah permohonan itu dengan alasan pemohon berisiko melarikan diri (flight risk) memandangkan Asnida pernah gagal hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan rakaman keterangan.
“Pemohon juga sentiasa ke luar negara dan ada perniagaan di sana, kemungkinan risiko flight risk. Mohon mahkamah mempertimbangkan kes ini kerana melibatkan salah seorang anak Allahyarham Tun Daim yang menyentuh kepentingan awam,” katanya.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Asnida menghujahkan bahawa syarat penyerahan pasport itu tidak mempunyai asas yang mencukupi memandangkan pihak pendakwaan gagal mengemukakan justifikasi dan bukti.
Katanya, sepanjang siasatan, anak guamnya juga sentiasa memberikan kerjasama kepada SPRM termasuk hadir untuk memberikan keterangan apabila diminta. – UTUSAN










