Jangan ada mahasiswa ikat perut, korbankan keperluas asas demi teruskan pengajian - Zambry

Jangan ada mahasiswa ikat perut, korbankan keperluas asas demi teruskan pengajian – Zambry

ZAMBRY Abdul Kadir melayan mahasiswa ketika melancarkan Dapur Siswa Madani di Unimas, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dapur Siswa Madani yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi merupakan satu inisiatif bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup semasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, inisiatif ini bertujuan membantu pelajar yang berdepan kesukaran kewangan agar mereka dapat memperoleh makanan secara percuma dan tidak perlu menanggung beban sehingga menjejaskan kehidupan serta tumpuan terhadap pengajian.

“Saya berkesempatan bersama mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk merasmikan pelaksanaan Dapur Siswa Madani di universiti ini.

“Komitmen universiti dalam memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya sangat dihargai.

“Kepada seluruh mahasiswa di luar sana, sekiranya anda berdepan apa jua masalah, khususnya berkaitan kewangan sehingga menjejaskan keperluan harian termasuk makanan, jangan pendam atau berasa segan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, mana-mana mahasiswa yang berdepan masalah kewangan diseru berhubung dengan pihak universiti masing-masing.

Katanya, banyak saluran bantuan disediakan dan pihak universiti sentiasa bersedia membantu.

“Saya tidak mahu ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut, berlapar atau mengorbankan keperluan asas semata-mata untuk meneruskan pengajian.

“Fokus utama anda adalah belajar, menimba ilmu dan membina masa depan. Soal kebajikan, kita akan berusaha sedaya upaya untuk membantu.

“Tiada mahasiswa yang seharusnya tercicir atau berdepan kesukaran bersendirian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN