JOHOR BAHRU: Cadangan melupuskan kenderaan yang melepasi had usia 10 tahun bagi menyelesaikan isu kesesakan masih tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, cadangan tersebut perlu diteliti secara holistik dan kajian terperinci dari pelbagai sudut dengan mengambil kira pelbagai aspek.
“Pandangan dan idea daripada pelbagai pihak, termasuk pakar sentiasa didengari kerajaan. Namun langkah untuk melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita.
“Jaringan pengangkutan sempurna diperlukan di seluruh negara termasuk di kampung-kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelepasan perkhidmatan tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di sini hari ini.
Khamis lalu, sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan agar kenderaan di Malaysia mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun bagi menangani masalah kesesakan jalan raya di ibu kota.
Kenderaan yang telah melepasi had itu perlu dilupuskan supaya tidak berada di jalan raya dan polisi tersebut bertujuan menyeimbangkan jumlah antara yang baharu dan lama di atas jalan raya.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, setakat ini terdapat lebih 34 juta kenderaan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 22 juta sahaja yang aktif membayar cukai jalan.
“Hasil daripada penelitian yang dilakukan, terdapat individu dan pewaris yang hendak menyimpan nombor pendaftaran kenderaan lama meskipun tidak lagi aktif di jalan raya dan masih digunakan di kampung-kampung.
“Kita ada data, siapa tidak bayar cukai jalan tetapi sistem yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti kenderaan aktif dan tidak aktif ini. Kemudian bila sudah ada sistem yang lengkap, kita lihat semula punca kenderaan tidak aktif ini,” katanya.
Menurut Ka Siong, negara tidak perlu terikut-ikut dengan pelaksanaan dasar pelupusan kereta ‘uzur’ dilakukan di kebanyakan negara termasuk Singapura kerana banyak lagi perkara perlu diteliti.
“Jika hendak dilaksanakan, dasar automotif negara perlu dilihat semula. Ini kerana dasar automotif menggalakkan pemilikian kenderaan buatan Malaysia,” katanya. – UTUSAN










