Belum ada rancangan naikkan tarif elektrik di Sabah - Utusan Malaysia

Belum ada rancangan naikkan tarif elektrik di Sabah

BUNG Moktar Radin (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada salah seorang kakitangan JKR Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri belum merancang menaikkan tarif elektrik di Sabah susulan bekalan elektrik yang masih belum stabil.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, bekalan elektrik di negeri ini perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum melihat kemungkinan menaikkan tarif elektrik.

Kata beliau, oleh kerana kKadar tarif elektrik dikawal oleh Suruhanjaya Tenaga maka, sebarang perubahan tarif eletrik perlu mendapat kelulusan suruhanjaya berkenaan.

“Setakat ini, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tiada perancangan untuk menaikkan tarif elektrik kerana bekalan kita belum lagi stabil. Kalau sudah stabil, kita akan pertimbangkan (kenaikan),” katanya selepas merasmikan majlis pengiktirafan dan penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan tarif elektrik di Sabah dinaikkan.

Dalam pada itu, Bung Moktar mahu agar lebih ramai arkitek dan jurutera di Sabah akan mendapatkan pengiktirafan profesional bagi mendapatkan gelaran Ir. agar mereka boleh berurusan dengan lebih baik dengan mereka di luar sana.

Menteri Kerja Raya Sabah itu berharap kerajaan Persekutuan dan negeri boleh tampil dengan beberapa polisi untuk menggalakkan jurutera dan arkitek mengambil peperiksaan untuk meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.

Mengulas lanjut katanya, beliau mahu semua agensi kerajaan untuk bersatu hati dan membantu kerajaan melaksana agenda pembangunan dan projek yang dirancang dengan sebaiknya agar Sabah boleh maju setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Jika semua agensi kerajaan memberi sokongan padu kepada agenda pembangunan yang telah dirancang, tidak mustahil usaha untuk membawa Sabah keluar daripada kemiskinan mampu dilakukan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Jika Sarawak boleh meraih pendapatan RM15 hingga RM23 bilion setahun, saya tidak nampak alasan kenapa Sabah tidak boleh.

“Apa yang penting kita kena kerja bersama-sama kerana misi kita adalah mempercepatkan apa sahaja projek pembangunan yang telah diluluskan oleh kerajaan. Jangan tangguh, jangan lengahkan kerana sehari kita tangguh ia seperti kita tangguhkan selama setahun,” katanya.

Menurut beliau, Sabah tidak memerlukan orang luar untuk menjadi jurutera, tidak perlu orang luar datang membangunkan Sabah sebaliknya, rakyat tempatan sendiri perlu membantu membangunkan negeri ini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN