Bella cedera, berparut selepas beritahu gembira dengan Siti Bainun

Bella cedera, berparut selepas beritahu gembira dengan Siti Bainun

Siti Bainun Ahd Razali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima bulan selepas Bella memberitahu dia gembira tinggal bersama pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, badan kanak-kanak remaja perempuan Sindrom Down itu dipenuhi luka dan mukanya berparut.

Bella juga tidak lagi tersenyum, menjadi pendiam, ketakutan dan berjalan sambil menundukkan kepalanya serta tidak memandang ke arah sesiapa.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, berkata, Bella memberitahunya bahawa dia gembira tinggal dengan Siti Bainun ketika bertemu kanak-kanak itu di Pejabat Akhlak Mahkamah Kuala Lumpur, 17 Februari 2021.

Keadaan Bella yang luka dan muka berparut itu dilihat sendiri ketika melawat Bella yang ditahan di Wad Covid Hospital Kuala Lumpur.

Tambahnya sebelum melawat Bella di hospital, dia pernah dimaklumkan oleh Siti Bainun melalui aplikasi WhatsApp bahawa Bella terkena air panas.

“Pada 24 Jun 2021, saya terima (mesej) WhatsApp daripada Siti Bainun yang mengatakan Bella jatuh dan terkena air panas. Siti Bainun ada beri gambar kecederaan pada tangan Bella dan Siti Bainun beritahu dah pergi ke hospital untuk ambil ubat. Siti Bainun juga beritahu dah beli ubat spray (sembur) kuning.

“Siti Bainun juga beritahu di kepala Bella juga terkena air panas dan dia dah botakkan kepala Bella. Siti Bainun beritahu Bella terkena air panas dua hari sebelum Hari Raya,” katanya.

Kata saksi pendakwaan ke-12 itu yang juga Pegawai Pelindung kepada Bella, Siti Bainun turut memberitahunya bahawa Bella terkena air panas di bahagian laundry selepas bergaduh dengan salah seorang penghuni Rumah Bonda bernama Balqis.

Saksi itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa mengabaikan dan menganiaya remaja sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.

Terdahulu, Mohamad Imran memberitahu, dia tidak bersetuju hak penjagaan Bella diserahkan kepada Siti Bainun kerana tidak mengenali serta tidak mengetahui latar belakang wanita itu.

Ujarnya, Bella diletakkan di bawah penjagaan rumah penjagaan Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah sejak 2011 selepas kanak-kanak terbabit ditemukan terbiar oleh orang awam.

Jelas Mohamad Imran, kali pertama dia bertemu Bella yang ketika itu berusia 12 tahun, kanak-kanak itu dalam keadaan baik, boleh bercakap walaupun pelat dan mampu menguruskan diri sendiri.

“Pada 14 Julai 2020, saya bawa Bella ke Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur untuk membuat permohonan baharu perintah jagaan sementara Bella. Selepas perintah diberikan, saya bawa Bella ke pejabat akhlak di terletak di sebelah mahkamah itu. Dalam pejabat itu ada Siti Bainun yang hadir untuk pengurusan kes lain.

“Masa tu, Siti Bainun panggil Bella dan Bella telah pergi kepada Siti Bainun dan saya lihat Bella peluk Siti Bainun. Saya juga nampak mereka berbual-bual. Selepas itu, seorang pegawai pelindung bernama Siti Sarah memberitahu saya yang Siti Bainun berhasrat untuk menjaga Bella tetapi saya tidak setuju kerana tidak mengenali Siti Bainun.

“Siti Sarah beritahu saya Bella ditempatkan di Taman Sinar Harapan sejak 2011 dan dia (Bella) perlukan pemeliharaan berasaskan keluarga. Siti Sarah beritahu Siti Bainun juga sedang menjaga dua kanak-kanak kelainan keupayaan (OKU) dan tidak mempunyai kesalahan jenayah ataupun jenayah seksual,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Mohamad Imran, Siti Sarah kemudian bertindak berjumpa terus dengan Majistret Mahkamah Kanak-Kanak sebelum memaklumkannya bahawa Majistret bersetuju dengan cadangan agar Bella diserahkan kepada Siti Bainun.

“Saya tetap tidak bersetuju dan masuk berjumpa dengan Majistret. Saya beritahu saya tidak bersetuju untuk meletakkan Bella di bawah jagaan Siti Bainun sebab saya tidak kenal siapa Siti Bainun dan latar belakangnya serta jika berlaku apa-apa, saya orang pertama yang akan dicari.

“Majistret maklumkan kepada saya agar cuba meletakkan Bella dengan Siti Bainun untuk sementara waktu dan pantau keadaan Bella sepanjang tempoh penjagaan sementara itu,” kata Mohamad Imran.

Tempoh jagaan sementara itu bermula daripada 15 Julai hingga 20 September 2020 dan sepanjang tempoh tersebut, Bella perlu diletakkan di rumah Siti Bainun yang turut didiami ibu dan kakaknya di Ampang dan bukannya di Rumah Bonda.

Bagaimanapun, Mohamad Imran memberitahu, pada 27 Julai 2020, Siti Bainun tidak membawa Bella untuk pemeriksaan jantung di Hospital Serdang walaupun telah diberitahu.

Pada 24 September 2020, perintah jagaan sementara itu telah ditukar kepada perintah jagaan tetap berserta enam syarat termasuk syarat bahawa Orang Yang Layak (OYL – Siti Bainun) hendaklah memastikan perbuatan penganiayaan atau apa-apa pengabaian ke atas kanak-kanak (Bella) tidak berlaku.

Siti Bainun juga selepas diberikan perintah jagaan tetap tidak membuat sebarang urusan untuk menyekolahkan Bella yang sebelum ini bersekolah ketika berada di Taman Sinar Harapan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izraliza Sanusi bersambung dengan sesi soal balas terhadap saksi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya