86.6% kes HFMD di Johor libatkan kanak-kanak bawah 6 tahun

86.6% kes HFMD di Johor libatkan kanak-kanak bawah 6 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sejumlah 86.6 peratus daripada 6,987 kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang direkodkan Johor setakat ini melibatkan kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu turut membabitkan kumpulan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, iaitu 816 kes atau 11.7 peratus, manakala selebihnya membabitkan pesakit berusia lebih 13 tahun. 

“Walaupun berlaku peningkatan besar dalam penularan kes HFMD berbanding hanya 104 kes dalam tempoh sama tahun 2021, namun situasi ini dilihat masih dalam keadaan terkawal.

“Peningkatan jumlah kes ini memang sudah dijangka akan berlaku pada tahun ini berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) selepas pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) tentang peningkatan kes HFMD yang sedang berlaku ketika ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tian Soon berkata, ketika ini terdapat lima lokasi wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri ini, iaitu dua di Johor Bahru dan Kota Tinggi, manakala satu di Batu Pahat.

“Jumlah itu telah menunjukkan penurunan berbanding sebanyak 28 lokasi wabak aktif HFMD yang dilaporkan pada minggu EPID sebelum ini. 

“Setakat semalam, lokasi penularan wabak HFMD di negeri ini pula membabitkan 100 lokasi ,antaranya taska (42), rumah persendirian (22), tabika (13), tadika (9), prasekolah (7), sekolah rendah (3), pusat jagaan harian (2) dan lain-lain (2 ),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN