1MDB: Kuasa ada pada Najib - Ahmad Husni - Utusan Malaysia

1MDB: Kuasa ada pada Najib – Ahmad Husni

AHMAD HUSNI HANADZLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberitahu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa membuat keputusan dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menjelaskan kenapa beliau berpandangan demikian, Ahmad Husni menyatakan ketika beliau membangkitkan isu bahawa 1MDB tidak wajar ditubuhkan tanpa ‘feasibility study’ (kajian kebolehlaksanaan), Najib memberitahu rancangan penubuhan itu akan diteruskan.

“Ini menunjukkan beliau telah membuat keputusan (made up his mind). Saya juga bangkitkan mengenai kerjasama dengan PetroSaudi kerana tiada telaga minyak lagi dan sekiranya ia (telaga minyak) tidak ditemukan, ia akan merugikan negara.

“Saya juga memberitahunya bahawa 1MDB tidak mempunyai pengalaman dalam bidang minyak dan gas jadi lebih elok berikan kepada Petronas yang ada pengalaman. Tetapi lepas itu beliau (Najib) cakap dengan saya, jangan masuk campur lagi hal 1MDB.

“Ini menunjukkan kuasa ada padanya (Najib). Tiada sebarang perbincangan,” kata saksi pendakwaan ke-20 itu.

Sri Ram: Adakah awak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan dalam 1MDB?

Ahmad Husni: Tidak.

Sri Ram: Siapa yang ada kuasa membuat keputusan dalam 1MDB?

Ahmad Husni: Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ahmad Husni berkata demikian ketika sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam berkata demikian pada perbicaraan Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Pada prosiding terdahulu, Ahmad Husni dalam keterangannya menyatakan Najib ‘mengarahkannya’ agak tidak masuk campur dalam hal berkaitan 1MDB ketika beliau memberikan pandangannya mengenai beberapa isu syarikat tersebut.

“Tapi, apa yang Najib respons kepada saya, dia menyatakan ‘Husni, I (Najib) don’t want you to get involve and interfere about 1MDB’ (Husni, saya tidak mahu kamu terlibat dan masuk campur mengenai 1MDB),” kata Ahmad Husni dalam prosiding yang berjalan pada 7 Jun lalu.

Sementara itu, berhubung surat peribadi yang dihantar kepada Najib, Ahmad Husni memberitahu, tidak timbul sebarang keraguan bahawa surat yang diserahkan kepada setiausaha sulit bekas Presiden UMNO itu, Allahyarham Datuk Azlin Alias tidak akan diserahkan kepada Najib.

Ahmad Husni dalam keterangannya sebelum ini menyatakan beliau menghantar surat peribadi kepada Najib bagi menyuarakan kebimbangannya mengenai urusan syarikat 1MDB yang dijangkakan akan mengundang kontroversi dan boleh menjejaskan Kerajaan dan Najib.

Bagaimanapun, Ahmad Husni memberitahu, beliau tidak menerima sebarang maklum balas daripada Najib menyebabkan beliau berpendapat Ahli Parlimen Pekan itu terlibat dengan salah laku kewangan yang berlaku dalam 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.