1,509 kes bedah tertunggak di Melaka selesai hujung tahun - Utusan Malaysia

1,509 kes bedah tertunggak di Melaka selesai hujung tahun

RUSDI Abd. Rahman (kiri) menyaksikan upacara perasmian WOW yang disempurnakan Muhamad Akmal Saleh di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka akan menyelesaikan baki 55 peratus atau 1,509 kes pembedahan tertunggak menjelang hujung tahun ini. 

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kira-kira 1,700 kes pembedahan tertunggak  direkodkan sejak Januari 2021 susulan pandemik Covid-19. 

Menurut beliau, JKN cakna mengenai setiap kes pesakit dan sedang berusaha menyelesaikan baki 55 peratus kes tersebut pada tahun ini termasuk mendapatkan bantuan pakar dari luar negeri ini.

“Kita telah mengenal pasti apa keupayaan kita dan sebanyak 1,059 kes pembedahan tertunggak sedang diselesaikan di semua hospital besar pada setiap Sabtu dan pembedahan perdana. 

“Kita telah kumpulkan semua pakar termasuk dari daerah dan negeri terdekat untuk bersama-sama membantu menjalankan pembedahan terutama membabitkan kes kecemasan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Trak Wellness On Wheel (WOW) yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Kata beliau, antara bantuan pakar yang diterima dari Hospital Muar, Johor; Hospital Tampin, Negeri Sembilan; Hospital Serdang, Selangor dan Hospital Kuala Lumpur. 

Jelasnya, usaha itu telah dimulakan pada awal tahun lalu, namun terjejas selepas kemasukan varian Delta pada pertengahan 2021.

“Tahun lalu kita berjaya selesaikan hampir 50 peratus kes tertunggak dan tahun ini dengan peruntukan baru, kita sasar untuk selesaikan baki kes ini dengan antara 20 hingga 25 peratus atau kira-kira 659 kes diserahkan kepada hospital swasta. 

“Bagi mempercepatkan usaha ini, kes-kes kecil seperti pembedahan katarak atau telinga akan dihantar ke Hospital Alor Gajah dan Jasin, manakala kes-kes besar dijalankan di Hospital Melaka,” katanya. 

Rusdi memberitahu, antara cabaran utama dihadapi oleh pakar dalam menyelesaikan kes adalah kekangan masa yang diperlukan untuk menjalankan satu-satu pembedahan di bilik bedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN