Jadikan ruang digital ruang keharmonian

Jadikan ruang digital ruang keharmonian

KANDUNGAN sensitif tidak hanya tersebar melalui individu yang terlibat secara langsung, malah diperkukuh menerusi perkongsian semula pengguna lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TULARNYA sebuah video yang memaparkan tindakan menghina kitab suci Islam baru-baru ini sekali lagi memperlihatkan betapa rapuhnya ekosistem komunikasi digital apabila berdepan isu sensitiviti agama.

Dalam tempoh singkat, rakaman tersebut tersebar luas di pelbagai platform media sosial dan mencetuskan gelombang kemarahan masyarakat.

Sifat media sosial yang pantas, interaktif serta digerakkan algoritma menyebabkan kandungan sensitif mudah mencapai jutaan tontonan dalam masa singkat.

Dalam konteks ini, ruang digital bukan lagi sekadar tempat berkongsi maklumat, sebaliknya menjadi medan yang membentuk persepsi dan emosi kolektif masyarakat.

Sesuatu insiden yang pada awalnya berlaku di lokasi terhad boleh bertukar menjadi isu nasional sebaik sahaja dimuat naik dan dikongsi secara berulang kali.

Isu yang menyentuh agama mempunyai dimensi jauh lebih mendalam berbanding kontroversi biasa kerana agama berkait rapat dengan identiti, maruah dan pegangan hidup seseorang.

Malah, agama turut membentuk nilai serta sensitiviti dalam sesebuah komuniti. Apabila simbol atau teks suci diperlakukan secara tidak wajar dan kemudian disebarkan secara terbuka, reaksi yang tercetus bukan sahaja berbentuk kecaman, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kepercayaan.

Selain insiden penghinaan terhadap kitab suci, masyarakat juga dikejutkan dengan beberapa kandungan lain yang memperlihatkan kurangnya kepekaan terhadap sensitiviti agama.

Antaranya termasuk tindakan individu memuat naik video makan secara terbuka pada siang hari sepanjang Ramadan dengan kapsyen yang seolah-olah berbangga tidak berpuasa.

Walaupun setiap individu mempunyai urusan dan keadaan peribadi tersendiri, tindakan menayangkan perbuatan tersebut secara provokatif di ruang awam digital boleh mencetuskan persepsi negatif serta mengundang kemarahan masyarakat yang sedang menunaikan ibadah.

Fenomena ini menunjukkan dalam era media baharu, batas antara ruang peribadi dengan ruang awam semakin kabur. Apa yang dahulunya dianggap hal peribadi kini mudah menjadi tontonan umum.

Apabila kandungan sedemikian dikongsi tanpa mempertimbangkan sensitiviti sosial, ia bukan sahaja mengundang kecaman, malah membuka ruang kepada perbalahan yang tidak perlu.

Perkembangan isu seperti ini juga membuktikan kandungan sensitif tidak hanya tersebar melalui individu yang terlibat secara langsung, malah diperkukuh menerusi perkongsian semula pengguna lain.

Setiap ulang siar, tangkap layar dan komen beremosi secara tidak langsung meningkatkan keterlihatan kandungan tersebut dalam sistem algoritma platform digital.

Walaupun ada pengguna berkongsi dengan niat menegur atau mengecam, tindakan itu tetap membantu memperluas penyebaran bahan sama dan memperbesar impaknya.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, isu 3R yang melibatkan kaum, agama dan institusi diraja merupakan perkara amat sensitif serta berpotensi menggugat keharmonian negara jika tidak ditangani secara berhati-hati.

Ruang digital yang terbuka sememangnya memberi peluang kepada pelbagai pihak menyuarakan pandangan, namun pada masa sama membuka ruang kepada manipulasi naratif dan penyebaran maklumat tidak sahih.

Tanpa kawalan editorial seperti media tradisional, kandungan yang tidak ditapis boleh tersebar luas sebelum sebarang pengesahan dilakukan.

Cabaran utama era komunikasi digital hari ini bukan sekadar berkaitan penguatkuasaan undang-undang tetapi turut melibatkan tahap literasi media masyarakat.

Keupayaan pengguna memahami, menilai dan menggunakan maklumat secara bertanggungjawab menjadi faktor penting dalam memastikan ruang digital tidak disalahgunakan hingga menjejaskan keharmonian sosial.

Struktur platform digital pula direka untuk memaksimumkan penglibatan pengguna. Kandungan yang mencetuskan kemarahan dan kontroversi lazimnya menerima lebih banyak reaksi, sekali gus dipaparkan kepada khalayak lebih luas.

Keadaan ini mewujudkan kitaran yang menyebabkan emosi mengatasi rasionaliti, manakala persepsi terbentuk sebelum fakta disahkan.

Justeru, keupayaan menilai sumber, memahami konteks dan menahan diri daripada berkongsi kandungan sensitif perlu menjadi budaya dalam kalangan pengguna media sosial.

Tanpa disiplin kendiri dan kesedaran kolektif, ruang digital berisiko bertukar menjadi medan pertikaian yang menggugat keamanan serta keharmonian negara yang sekian lama dipelihara. – UTUSAN

DR. AFIQAH KAMARUL & DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN