SHAH ALAM: Seorang wanita parah selepas tercampak keluar dari kereta Perodua Bezza dinaikinya yang terbabas di Kilometer 3.7 Jalan Setia Alam di sini, hari ini.
Selain mangsa berusia 27 tahun itu, kemalangan kira-kira pukul 11 pagi turut mengakibatkan tiga rakannya cedera.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan enam anggota termasuk pegawai ldari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.15 pagi.
Katanya, siasatan mendapati kereta dipandu seorang wanita berusia 24 tahun itu sedang menghala ke arah sebuah pusat beli belah di kawasan itu.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu terbabas dan melanggar penghadang jalan. Kemalangan itu mengakibatkan pemandunya dan dua penumpang dewasa cedera serta keluar sendiri dari kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, seorang lagi wanita yang juga penumpang belakang tercampak ke atas jalan dan berada dalam keadaan separuh sedar.
“Semua mangsa diberi rawatan awal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. Mereka kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN










