Wan Qurois didakwa jadi pengurus surat kepada Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Wan Qurois didakwa jadi pengurus surat kepada Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi meneruskan perbicaraan terhadap 33 pertuduhan yang dihadapinya di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengarah Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), Wan Quorois Shah Wan Abdul Ghani didakwa menjadi individu yang bertanggungjawab menyerahkan surat-surat termasuk permohonan perlanjutan kontrak syarikat itu kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, hal itu dianggap seperti skop tugas beliau menguruskan surat-surat untuk dihantar kepada Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.

Pengarah UKSB, Datuk Fadzil Ahmad yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 berkata, segala surat berkaitan permohonan untuk melanjutkan kontrak Visa Luar Negara (VLN) dihantar kepada Wan Qurois untuk disampaikan kepada menteri.

“Surat ini (permohonan lanjutan kontrak) saya sediakan dan serahkan kepada pengarah iaitu Wan Quoris untuk disampaikan kepada pejabat menteri, saya tak pasti disampaikan secara terus ataupun tidak.

“Kerana skop tugasan adalah untuk mengurusakan surat-surat yang dihantar kepada menteri,” katanya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa.

Jelasnya, ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong, permohonan pelanjutan kontrak VLN tidak dihantar melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mahu menyegerakan kelulusan.

Menurut Fadzil, surat permohonan dihantar terus kepada KDN secara ‘top down‘ kerana keputusan muktamad hanya dibuat oleh menteri.

“Proses permohonan lanjutan tempoh kontrak, memang perlu dibincangkan di peringkat pegawai KDN, tetapi keputusan muktamad dibuat oleh menteri.

“Tetapi UKSB bertindak menulis surat kepada menteri sebab kita bertindak secara ‘top down‘ bermakna saya terus buat surat supaya proses untuk permohonan lanjutan tempoh kontrak dapat dilaksanakan dengan segera,” jelasnya.

Semalam, ketika membacakan pernyataan saksinya, Fadzil memberitahu mahkamah bahawa pihaknya ada menghantar tujuh surat kepada Ahmad Zahid antara 2016 dan 2017 berhubung sistem VLN bagi mendapatkan sokongan, permohonan pertimbangan serta permohonan kelulusan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan UKSB membuat permohonan untuk melanjutkan kontrak selama enam tahun bermula 31 Oktober 2019 hingga akhir 2025 menerusi surat yang dihantar kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk pada 17 Oktober 2016.

Bagaimanapun, Fadzil kemudian menandatangani sepucuk lagi surat pada 8 Februari 2017 kepada Ahmad Zahid untuk tujuan sama iaitu melanjutkan tempoh pelaksanaan sistem VLN dan e-Visa selama enam tahun bagi mengukuhkan surat pertama.

Dalam surat kedua itu, beliau menjelaskan permohonan tersebut sejajar dan seiring dengan Pembangunan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN).

“Surat ini memaklumkan bahawa tempoh lanjutan sistem VLN dan e-Visa bagi tempoh enam tahun adalah sejajar dan pelengkap kepada usaha-usaha pembangunan dan pelaksanaan SKIN. Saya boleh cam surat ini jika ditunjukkan,” katanya.

Bagaimanapun, Zander Lim kemudian mempersoal tindakan beliau yang kemudian menulis sepucuk surat lagi pada 14 Jun 2017 yang mengubah permohonan lanjutan kontrak daripada enam tahun kepada tiga tahun.

Justeru, Fadzil menjelaskan pertukaran permohonan lanjutan dibuat selepas menyedari tempoh selama enam tahun perlu mendapat kelulusan daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

“Kita tidak terima maklum balas daripada KDN, tetapi dalam masa sama banyak perbincangan di peringkat pegawai berlaku, dalam bengkel pun kita diberitahu sekiranya kita mohon untuk tempoh enam tahun, perlu melalui UKAS yang mengambil masa lama.

“Jadi, kita membuat keputusan (secara bersama dengan Pengarah UKSB, Harry Lee) untuk pendekkan tempoh lanjutan supaya tidak tertakluk kepada keperluan mendapatkan kelulusan UKAS,” jelasnya.

Katanya, makluman mengenai keperluan rujukan kepada UKAS bagi tempoh lanjutan selama enam tahun itu turut dimaklumkan dalam mesyuarat bersama Bahagian Imigresen di kementerian tersebut.

Mohd. Yazid kemudian menangguhkan prosiding dan menetapkan perbicaraan bersambung pada Selasa depan (17 Mei).

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan bernilai S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya