Aidiladha: Polis gerak 3,474 aset cegah jenayah

Aidiladha: Polis gerak 3,474 aset cegah jenayah

NOOR HISAM NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 1,742 unit kereta peronda (MPV) dan 1,732 unit motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan digerakkan di seluruh kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei ini.

Operasi itu melibatkan kekuatan seramai 4,332 anggota MPV dan 1,800 petugas URB bagi memperkukuh rondaan pencegahan jenayah sepanjang musim perayaan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, rondaan akan dilaksanakan 24 jam mengikut penugasan syif bagi mengurangkan kadar jenayah harta benda termasuk kes pecah rumah.

Katanya, rondaan pencegahan jenayah oleh MPV dan URB akan dipergiat di kawasan tumpuan seperti taman perumahan, premis perniagaan, sekolah, pusat ibadat serta sasaran penting lain.

“Operasi pencegahan bermula 26 Mei hingga 2 Jun ini merangkumi rondaan pencegahan jenayah, lawatan ke rumah atau premis yang ditinggalkan.

“Langkah ini membantu melancarkan aliran trafik di jalan raya yang dijangka sesak serta bertindak sebagai ‘first responder’ bagi sebarang kejadian yang dilaporkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, semakan mendapati kebanyakan kes pecah rumah berlaku di kediaman atau premis yang penghuninya tidak memaklumkan pergerakan pulang ke kampung kepada pihak polis.

“Justeru, amat penting orang ramai membuat laporan kepada pihak polis bagi membolehkan langkah pencegahan dilaksanakan secara lebih tertumpu di kawasan berkenaan,”jelasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang akan pulang ke kampung supaya terlebih dahulu memaklumkan kepada polis melalui talian hotline 999 menerusi Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) atau

Pusat Kawalan Daerah (DCC), aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau dengan mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran.

Tambahnya, JPJKK di peringkat kontinjen dan daerah akan terus melaksanakan operasi bersepadu secara berterusan bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah sepanjang musim perayaan Aidiladha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN