ALOR SETAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah memulakan siasatan terhadap satu dakwaan kes buli di sebuah sekolah dekat Jitra, Kubang Pasu sejak setahun lepas.
Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pihaknya juga memberi jaminan satu siasatan yang telus dan terperinci akan diadakan bagi menyelesaikan isu tersebut.
“JPN Kedah memandang serius mengenai kejadian buli yang berlaku di sebuah sekolah di negeri ini seperti yang dilaporkan oleh media.
“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak jabatan. JPN Kedah memberi jaminan siasatan yang telus dan terperinci bagi memastikan keadilan untuk murid yang menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, tindakan disiplin tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“Semua institusi pendidikan di bawah kelolaan JPN Kedah diingatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi membanteras salah laku buli.
“Sekiranya berlaku kejadian buli, ia perlu ditangani dengan segera berdasarkan kepada garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang murid tahun tiga sebuah sekolah di Kubang Pasu, bukan sekadar retak tulang tangan tetapi turut alami dua kecederaan lain dipercayai akibat dibuli rakan sekelas sejak tahun lepas sehingga terpaksa berpindah sekolah.
Ibu kanak-kanak berusia sembilan tahun yang ingin dikenali sebagai Fatin, 32, mendakwa, kesemua kecederaan itu dilakukan tiga murid dalam insiden berasingan pada 17 Mei 2025 serta 26 Mac dan 17 Mei lalu.
Sementara itu menurut waris murid berkenaan, pihak sekolah menghubunginya semalam untuk mengadakan satu perjumpaan membincangkan perkara tersebut.
“Tetapi buat masa sekarang saya dan keluarga bercuti. Kami akan memikirkan perkara ini apabila sekolah buka kelak,” katanya. – UTUSAN










