Iran janji sokong Hizbollah ketika Lubnan diserang Israel - Utusan Malaysia

Iran janji sokong Hizbollah ketika Lubnan diserang Israel

KEPULAN asap akibat serangan Israel di selatan Zawtar El Charkiyeh, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Hizbollah berkata penyokongnya, Iran berjanji tidak akan meninggalkan kumpulan bersenjata itu ketika Israel melancarkan serangan ke atas selatan Lubnan walaupun terdapat gencatan senjata yang berkuatkuasa 17 April dan berlanjutan beberapa minggu lagi.

Hizbollah berkata ketuanya, Naim Qassem, menerima mesej daripada Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, yang menyatakan cadangan terbaharu menerusi pengantara Pakistan bagi menamatkan perang serantau dan menekankan keperluan memasukkan Lubnan dalam gencatan senjata antara Teheran dengan Washington.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Lubnan menyatakan rundingan negara itu dengan Israel di bawah pengawasan Amerika Syarikat (AS) mesti kekal berasingan daripada rundingan Iran-Amerika.

Tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan walaupun gencatan senjata diumumkan Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini dilanjutkan lagi selama 45 hari lagi.

Hizbollah juga meneruskan serangan terhadap sasaran Israel di selatan Lubnan dan utara Israel, termasuk menyasarkan platform pertahanan udara Israel merentasi sempadan pada Sabtu.

Kumpulan itu berkata, mesej Araghchi menunjukkan Iran tidak akan menghentikan sokongannya terhadap Hizbollah.

Hizbollah membawa Lubnan ke dalam perang Asia Barat pada 2 Mac melalui serangan roket ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan AS-Israel.

Perbincangan keselamatan dengan Israel dijadual berlangsung di Pentagon pada 29 Mei, manakala pusingan keempat rundingan dirancang pada Jun.

Namun, Hizbollah dengan tegas menolak rundingan langsung tersebut.

Pada Sabtu, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, serangan Israel telah mengorbankan 3,123 orang sejak 2 Mac, dan mengecam serangan semalaman yang merosakkan sebuah hospital di bandar selatan Tyre sebagai bukti lanjut pencabulan undang-undang kemanusiaan oleh rejim Zionis. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN