PADANG BESAR: Malaysia menjana pendapatan sehingga RM2 bilion setahun jika ketum ‘dihalalkan’ dan dibenarkan untuk tujuan eksport.
Selain itu, penanaman dan hasil pendapatan ketum itu juga mampu memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk luar bandar, sekali gus membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, cadangan model tanaman tersebut adalah setiap penduduk dari kawasan luar bandar itu hanya lima pokok sahaja.
Menurut beliau, setiap pengusaha melalui lima batang pokok itu mampu menjana pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun.
Pengusaha
Kata Ahli Parlimen Padang Besar itu, daripada keseluruhan hasil yang diperolehi pengusaha dalam tempoh setahun, RM1,000 disalurkan kepada kerajaan yang mampu menjana pendapatan negara sehingga RM2 bilion melibatkan dua juta penduduk itu.
“Ketika ini, negara jiran sudah mampu menjana pendapatan hasil daripada ketum ini sebanyak RM3.8 bilion setahun, sedangkan Malaysia masih mengkaji dan terus memberi pendapat mengenai tumbuhan itu.
“Ketum ini, banyak kali kita terang, bukan minum ketum tapi permintaan luar negara yang sangat tinggi untuk tujuan perubatan. Sekarang negara jiran kita dapat RM3.8 bilion setahun, mengapa kita tidak dapat.
“Kalau kita lihat orang tegar salah guna ketum tidak sampai 3,000 orang, namun daripada sudut positif lain mampu memberi manfaat kepada dua juta penduduk luar bandar. Kita harap orang yang tidak tahu pasal ketum dan kemiskinan penduduk luar bandar ini, janganlah protes terhadap penanaman ketum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Lampu hijau
Sebelum ini, Kabinet dikhabarkan telah memberi lampu hijau untuk membenarkan penanaman ketum dan hem untuk tujuan perubatan.
Zahidi dilaporkan berkata, Kabinet tiada halangan mengenai perkara tersebut dan meminta pihaknya berbincang dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai cara meluluskan tanaman itu.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan walaupun perniagaan ketum di negara ini belum dihalalkan, sebahagian petani di daerah Baling, Sik, Padang Terap dan Pendang, Kedah kini menanam ketum dalam skala besar kerana lebih menguntungkan berbanding tanaman lain.
Ekoran itu mereka mula menukar corak pertanian daripada tanaman getah, buah-buahan dan sayur-sayuran kepada tanaman ketum.
Malah, banyak kawasan baharu diteroka semata-mata untuk diusahakan dengan tanaman tersebut sejak tahun lalu termasuk yang diusahakan secara terbuka di tepi jalan.
Berdasarkan rekod sebelum ini, jumlah keluasan tanaman ketum di Kedah dianggarkan kira-kira 140 hektar melibatkan 84,577 batang pokok.
Jumlah petani yang terlibat dalam tanaman ketum seramai 177 petani.
Daerah Padang Terap merekodkan kawasan paling luas iaitu 94.36 hektar hektar, Pendang (30.5 hektar), Sik (7.2 hektar) dan Baling (3.7 hektar).
Sementara itu, Zahidi berkata, model penanaman ketum dan cadangan berkaitan langkah penguatkuasaan serta pengawalan itu akan dibawa kepada Kementerian Kesihatan dalam tempoh terdekat.
“Kita juga cadang untuk melantik bekas pegawai tinggi polis dalam bidang narkotik bagi membentuk jawatan kuasa untuk langkah-langkah dan pengawalan tanaman ketum apabila ‘dihalalkan’ nanti,” katanya.- UTUSAN










