PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara susulan beberapa siri letupan bom selain kejadian berbalas tembakan di Pekan Tak Bai dalam wilayah Narathiwat, Thailand, malam kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, aset-aset udara terutama pesawat tanpa pemandu (dron) dan helikopter akan digunakan untuk memantau keadaan di kawasan sekitar.
“Kita berada dalam keadaan siap sedia. Tambahan rondaan di sempadan akan dilakukan menggunakan dron dan helikopter,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, tiga anggota keselamatan cedera selepas Balai Polis Marin diserang dengan tembakan dan letupan bom, malam kelmarin.
Lapor Bangkok Post, kejadian berlaku pada pukul 9.35 malam selepas enam penyerang tidak dikenali melemparkan bom dan melepaskan tembakan di stesen tersebut.
Tiga mangsa yang cedera ialah Sulaiman Yuso, 23, Opas Saensom, 33 dan Ekawat Ketduang, 41.
Kesemua mereka cedera akibat terkena serpihan letupan bom dan merupakan anggota sukarelawan pertahanan di pos tersebut.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Tak Bai sebelum dipindahkan ke Hospital Narathiwat.
Orang ramai dilaporkan terdengar bunyi letupan itu dan polis marin berbalas tembakan dengan penyerang.
Skuad pemusnah bom menemukan sebuah silinder gas yang mencurigakan di kedai serbaneka berhampiran.
Pekan Tak Bai dalam Wilayah Narathiwat digegarkan dengan beberapa siri letupan bom selain kedengaran kejadian berbalas tembakan malam semalam.
Beberapa video yang dirakam oleh orang awam tular di Facebook menunjukkan api marak selain beberapa lelaki melepaskan tembakan. – UTUSAN










