Saifuddin jumpa Menteri Luar Myanmar dalam buangan

Saifuddin jumpa Menteri Luar Myanmar dalam buangan

SAIFUDDIN Abdullah bergambar dengan Zin Mar Aung ketika pertemuan di Washington DC, AS semalam. - FOTO/IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah memberi amaran pada akhir tahun lalu, kerajaan Malaysia akhirnya menzahirkan sokongan secara terbuka kepada kepemimpinan Myanmar yang dalam buangan.

Langkah berani itu dibuktikan menerusi pertemuan bersejarah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan Menteri Luar Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Zin Mar Aung.

Meskipun dianggap perjumpaan tidak formal, beliau menerusi ciapan dalam akaun sosial Twitter memaklumkan sokongan Malaysia kepada proses pemulihan krisis politik di Myanmar.

“Pertemuan ini bagi menyatakan Malaysia sokong dan bersolidariti dengan rakyat Myanmar, malahan sedia bergandingan memulihkan kedamaian dan demokrasi di negara itu,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan pertemuan tidak rasmi itu diadakan di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) semalam ketika Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang berlangsung dua hari.

Junta Myanmar yang tidak diiktiraf kuasa besar dunia itu langsung tidak dijemput menyertai persidangan dipimpin oleh Presiden Joe Biden di Jabatan Negara AS dan berakhir semalam.

NUG merupakan kerajaan Myanmar dalam buangan dibentuk susulan rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021 lalu yang menggulingkan Kaunselor Negara itu, Aung San Suu Kyi.

Mar Aung, 45, ialah Ahli Parlimen Dewan Rendah atau Pyithu Hluttaw kawasan perbandaran Yankin, di utara Yangon sejak 2016 sebelum dilucutkan jawatan oleh junta pada tahun lepas.

Mengulas lanjut, Saifuddin dalam ciapannya memberitahu, Malaysia mengambil peluang itu untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan politik terkini di Myanmar pada ketika ini.

“Justeru, Mar Aung berkongsi maklumat selain pelbagai cabaran dihadapi NUG termasuk isu bantuan kemanusiaan, latihan teknikal dan pendidikan kepada pelarian Myanmar,” jelasnya.

Ciapan beliau itu menerima reaksi balas positif ramai pengguna Twitter dalam kalangan para pengkritik junta di luar negara dan meminta negara ASEAN yang lain mencontohi Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.