PETALING JAYA: Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) tidak memberi kesan fiskal langsung kepada operasi majikan, sebaliknya membantu menyerap sebahagian beban kos sara hidup pekerja ketika tempoh cuti tambahan.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, pelaksanaan EPCB yang telah dipersetujui kerajaan secara prinsip turut dijangka meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh aktif.
Katanya, EPCB menggunakan pendekatan perkongsian liabiliti dan akan menjadikan Malaysia selari dengan piawaian global seperti digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Pendekatan ini dilaksanakan di pelbagai negara maju seperti Sepanyol, Portugal, Perancis dan China yang memanfaatkan dana keselamatan sosial bagi memastikan kelangsungan industri tanpa mengorbankan kebajikan wanita pasca bersalin.
“Pelaksanaannya bukan sahaja penting dalam memelihara kesihatan wanita hamil, malah menjadi benteng yang menampan kecenderungan wanita meninggalkan kerjaya selepas bersalin akibat peningkatan kos sara hidup keluarga.
“Faedah baharu itu akan dilaksanakan melalui pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkeso berkata, kira-kira 1.6 juta individu termasuk hampir 480,000 pekerja yang berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor akan menerima manfaat daripada pelaksanaan Skim Pengembara Perkeso.
Katanya, skim di bawah Akta Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) itu berperanan menutup kelompangan perlindungan sosial bagi pekerja rentas sempadan yang sebelum ini terdedah kepada risiko kelangsungan sosio-ekonomi.
“Langkah ini akan memastikan nadi ekonomi keluarga ini mendapat pembelaan sewajarnya daripada risiko yang tidak terjangkau sebelum ini.
“Ini bukan sekadar peluasan skim, sebaliknya manifestasi sokongan terhadap pengorbanan ratusan ribu pekerja yang berdepan risiko tinggi demi kelangsungan hidup,” katanya.
Tambah Perkeso, semua mekanisme operasi dan sistem sokongan telah diperkemas bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu berjalan lancar selaras aspirasi Kerajaan Madani.
“Perkeso kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi melaksanakan mandat tersebut demi memastikan setiap penambahbaikan memberi impak nyata kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Media semalam melaporkan, kerajaan bersetuju memperkenalkan EPCB pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita yang akan dibayar secara sekali bayar (one-off).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu yang melibatkan pindaan akta berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita. – UTUSAN










