BEIRUT: Hizbullah menggunakan senjata baharu dalam pertempurannya di utara Israel, melibatkan dron kecil yang dikawal melalui gentian optik selebar benang dan tidak dapat dikesan oleh sistem elektronik.
Lapor CNN, dron tersebut yang turut digunakan secara meluas dalam perang di Ukraine, bersaiz kecil, sukar dikesan dan berbahaya.
Dalam insiden terbaharu, senjata itu dilaporkan membunuh seorang askar Israel di selatan Lubnan serta mencederakan sekurang-kurangnya 12 yang lain di utara Israel pada Khamis, termasuk dua dilaporkan kritikal.
Seorang anggota tentera dan kontraktor pertahanan turut dilaporkan terbunuh di Lubnan awal minggu ini.
Kebanyakan dron biasanya boleh diganggu melalui sistem peperangan elektronik, yang berpotensi menyebabkan ia terhempas atau kembali ke lokasi asal.
Dron gentian optik tidak dipandu melalui isyarat Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) atau radio, sebaliknya ia mempunyai kabel nipis tergulung dibelakangnya dan bersambung ke konsol pengendali, menjadikannya mustahil untuk diganggu secara elektronik.
Bagaimanapun, dron itu tidak sepenuhnya kebal kerana angin atau dron lain boleh menyebabkan kabelnya tersimpul.
Israel percaya senjata tersebut dibuat di dalam negara dan mudah dihasilkan, hanya memerlukan dron sedia ada, sedikit bahan letupan dan wayar lutsinar yang mudah didapati di pasaran.
Seorang wartawan yang pakar dalam hal ehwal keselamatan dan ketenteraan serta mengikuti rapat keupayaan Hizbullah, Ali Jezzini, menganggarkan sebahagian dron digunakan kumpulan itu berharga antara AS$300 hingga AS$400 (RM1,191 hingga RM1,588) seunit.
Beliau berkata, dron tersebut dipercayai dihasilkan secara tempatan menggunakan teknologi percetakan 3D, selain komponen elektrik mudah diperoleh yang pada asalnya untuk kegunaan awam tetapi boleh digunakan untuk aplikasi dwiguna.
Hizbullah turut mengumumkan ia mula menggunakan dron berpandu gentian optik buat kali pertama dalam pusingan pertempuran yang bermula pada 2 Mac, selepas bertahun-tahun menggunakan pelbagai jenis dron lain.
Israel juga memiliki armada dron sendiri untuk tujuan pengawasan dan serangan, walaupun tidak semestinya dengan kabel gentian optik, bagi menyasarkan pejuang Hizbullah.










