KOTA BHARU: Seorang remaja yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, di sini dipercayai keluar makan secara berasingan bersama dua suspek.
Menurut sumber, mangsa yang menetap di sebuah kondominium dikatakan keluar pada sebelah siang bersama seorang suspek dengan menaiki kereta jenis Honda City sebelum dihantar pulang ke kediamannya.
“Pada waktu malam, mangsa dipercayai keluar sekali lagi bersama suspek kedua yang disyaki suspek utama, seorang penuntut kolej vokasional dengan menaiki Perodua Bezza.
“Mereka dikatakan makan di sebuah premis di Wakaf Bharu, Tumpat dan mangsa sempat memuat naik status makanan di aplikasimWhatsApp sekitar pukul 11 malam sebelum mayatnya ditemukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan difahamkan suspek kedua baru mengenali mangsa.
Katanya, kedua-dua kenderaan yang digunakan iaitu Honda City dan Perodua Bezza telah dirampas bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dua warga emas iaitu pasangan suami isteri yang ditahan dipercayai ibu bapa kepada salah seorang suspek yang menetap di Ketereh.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis memberkas empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Jalan Kampung Padang Simah, Ketereh.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis membuat dua serbuan di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi dan Kampung Belukar Luas, Ketereh bermula pukul 4.40 petang hingga 2.30 pagi ini.
Katanya, serbuan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 19 tahun hingga 66 tahun serta seorang wanita berusia 60 tahun. – UTUSAN









