rombak pemantau

Rombak pihak buat pemantauan halal Jakim

Keratan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mengenal pasti kelemahan dalam proses pemantauan badan pensijilan halal luar negara (FHCB) yang diiktiraf Jakim.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber dalam industri halal antarabangsa berkata, ini termasuk membuat penambahbaikan prosedur tertentu selepas Jakim tidak menafikan bukti ketidakpatuhan di Tho­mas Food Industries (TFI), malah mempertahankan pemantauan dan integriti halal daging yang memasuki Malaysia dari Australia.

Katanya, perkara ini pen­ting dalam membuat rombakan semula pihak yang diberi tanggungjawab melaksanakan tugas pemantauan bagi mengelakkan kebimbangan ini daripada terus berulang pada masa hadapan.

“Berdasarkan kenyataan saksi dan bukti video yang diberikan, jelas terdapat isu mengenai peranan Jakim dan bagaimana ia memastikan pematuhan berte­rusan terhadap protokolnya.

“Adalah mengecewakan apabila Jakim nampaknya cuba melindungi reputasinya dengan cara ini, berbanding melihat isu yang didedahkan sebagai peluang meningkatkan prosedur dan protokolnya sebagai pihak berkuasa halal kerajaan Malaysia.

“Ia sama ada dari segi kelulusan dan pemantauan rumah penyembelihan halal yang mengeksport ke Malaysia, dan kelulusan serta pemantauan FHCB yang diakreditasikannya,” katanya di sini semalam.

Dalam satu artikel kepada Utusan Malaysia semalam, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff me­negaskan, Jakim akan mengambil tindakan sewajar­nya untuk melengkapkan siasatan berhubung isu pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia.

Ini termasuk mengesyorkan tindakan sepatutnya untuk mempertahankan prosedur dan pematuhan halal jika terbukti berlakunya pelanggaran prosedur dan pematuhan halal terhadap mana-mana badan atau loji sembelihan berkenaan.

Dalam konteks halal, jelas Hakimah, kerajaan Malaysia telah mengambil usaha proaktif dengan menetapkan polisi halal terhadap setiap produk daging sama ada lembu, kerbau, kambing, ayam atau lain-lain haiwan halal import yang ma­suk ke pasaran Malaysia sebagai satu usaha menjamin rantaian halal bahan mentah di Malaysia, malah sebagai satu bentuk kawalan agar hanya daging sembelihan halal dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia.

Dalam pada itu, sumber berkata, Jakim perlu berpe­ranan membuat penilaian komprehensif sendiri tidak hanya bergantung kepada proses FHCB dalam membuat keputusan dan menjalankan audit yang bertujuan memastikan semua daging yang disembelih setiap hari sepanjang tahun mematuhi keperluan halal Malaysia.

Beliau berkata, Jakim juga perlu menilai kakitangan penyembelihan muslim yang diambil bekerja yang perlu ditapis, dilatih dan diakreditasi FHCB.

Katanya, ia sekali gus dapat memastikan sebarang masalah integriti halal boleh disoal siasat pekerja sembelihan ini ketika membuat audit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN