RM120 juta ganti paip dasar laut Pulau Redang - Utusan Malaysia

RM120 juta ganti paip dasar laut Pulau Redang

MAMAD PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keresahan penduduk di Pulau Redang dan sebahagian Setiu yang sering berdepan masalah gangguan bekalan air bakal selesai apabila kerajaan negeri berhasrat menaik taraf paip dasar laut ke pulau peranginan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, paip sedia ada sepanjang kira-kira 23 kilometer itu semakin uzur susulan usianya yang melebihi 25 tahun.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri memerlukan sebanyak RM120 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian paip dasar laut yang baharu.

“Kekerapan paip dasar laut itu pecah menyebabkan kita membazir hampir 50 peratus bekalan air bersih di samping terpaksa mengeluarkan kos pembaikan yang tinggi sebanyak RM70,000 setiap kali kerosakan berlaku.

“Sebagai penyelesaian kerajaan negeri mahu membina paip baharu dan kini berusaha mencari peruntukan RM120 juta bagi melaksanakan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan empat daerah di negeri ini terlibat dengan catuan bekalan air pada tengah malam bagi menampung keperluan yang meningkat sepanjang Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu), Abdul Karim Endut berkata, pengguna akaun di beberapa kawasan di Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut dihentikan bekalan air bermula dari pukul 12 tengah malam hingga 4.30 pagi.

Sementara itu, menurut Mamad, sekiranya masalah paip dasar laut ke Pulau Redang dapat diselesaikan, pengguna akaun di daerah Setiu dijamin akan menikmati bekalan air bersih yang lebih baik.

Katanya, sehingga kini, masalah paip dasar laut yang pecah itu masih lagi berlaku dan setiap kerosakan adalah serius dengan kes terbaharu adalah kira-kira dua minggu lalu.

“Apabila ada lokasi paip yang pecah di dasar laut, kita terpaksa menurunkan tekanan bagi mengelak lebih banyak air keluar dan dibazirkan.

“Akibatnya, pengguna akaun yang tinggal di kawasan penghujung berdepan masalah gangguan bekalan air kerana tekanan yang rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN