PUTRAJAYA: Penularan wabak Covid-19 sepanjang dua tahun lepas menyaksikan rakyat di negara ini semakin mula minum susu segar berbanding rekod sebelum 2020.
Demikian laporan dimuatkan dalam Buku Perangkaan Ternakan versi terbaharu yang diterbitkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan disiarkan menerusi laman agensi itu.
Berdasarkan data yang diperoleh dari seluruh negara, penggunaan susu segar pada tahun lalu memecah rekod paling tinggi dalam sejarah dengan dianggarkan 68.2 juta liter.
“Ia menyaksikan lonjakan daripada 65.1 juta liter yang direkodkan pada 2020 ketika dunia mula berdepan dengan kemunculan pandemik Covid-19 dan langkah sekatan pergerakan tegas. Malah, ia rekod tertinggi dibandingkan hanya 64.4 juta liter pada 2019 serta 62.8 juta liter masing-masing pada 2018 dan 2017 serta 56.6 juta liter masing-masing pada 2016 dan 2015,” jelas JPV.
Ironinya, pengeluaran susu segar domestik adalah kurang apabila hanya merekodkan 43.8 juta liter sepanjang tahun lalu di seluruh negara tetapi masih rekod paling tinggi dalam sejarah.
Situasi itu menunjukkan lonjakan daripada hanya 41.8 juta liter pada 2020, 40.6 juta liter (2019), 38.5 juta liter (2018), 36.6 juta liter (2017), 36.7 juta liter (2016) dan 36.5 juta liter (2015).
Bagaimanapun dari segi penggunaan perkapita, JPV merekodkan setiap orang penduduk di Malaysia secara purata minum susu segar sebanyak dua liter sepanjang tahun lalu. Angka tersebut adalah malar berbanding data pada 2020 dan 2019, manakala pada 2018 cuma 1.9 liter, 2.0 liter (2017) serta 1.8 liter yang dicatatkan masing-masing pada 2016 dan 2015.
Rekod JPV menunjukkan terdapat sejumlah 30,581 ekor lembu tenusu di negara ini pada 2020 iaitu merosot 12.3 peratus berbanding 2019, namun rekod 2021 belum lagi dikemas kini.
Johor kekal sebagai negeri terbesar penternakan lembu tenusu iaitu sebanyak 9,546 ekor berbanding Pahang dengan 4,551 ekor dan Selangor pula 4,279 ekor. Ini disusuli Perak yang merekodkan 3,673 ekor lembu tenusu, Negeri Sembilan (3,170), Melaka (2,503), Kedah (1,724), Pulau Pinang (831), Kelantan (201), Terengganu (55) dan Perlis (48).
Penternak lembu tenusu turut mengeksport 481.4 juta liter susu ke luar negara yang bernilai RM1.29 bilion menurut data diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020. Jumlah tersebut bagaimanapun adalah berkurangan sedikit dibandingkan rekod pada tahun sebelumnya sebanyak 570 juta liter yang mencecah nilai eksport RM1.36 bilion. – UTUSAN










