KUALA LUMPUR: Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) atau doktor muda yang menjalani latihan klinikal (housemanship) di hospital-hospital kerajaan mengakui persekitaran tempat kerja mereka sangat tidak sihat apabila 60 peratus dalam kalangan mereka tertekan kerana dibuli.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, perkara tersebut diperoleh hasil tinjauan pihaknya dalam kalangan 150 doktor muda bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai persekitaran pekerjaan pegawai perubatan di negara ini.
Menurut beliau, ternyata hasil analisis tidak rasmi diperoleh mendapati, ramai dalam kalangan doktor muda mengakui berdepan tekanan emosi akibat sikap doktor-doktor senior atau pihak pentadbir hospital yang disifatkan ‘toksik’ dan mengherdik doktor muda di hadapan pesakit atas sebab tidak munasabah.
Mendorong
Justeru, beliau tidak menafikan situasi sedemikian mendorong doktor-doktor muda tersebut bertindak di luar kawalan seperti mendatangkan kecederaan kepada diri sendiri, malah ada yang sanggup meragut nyawa mereka.
“Kami memang menerima banyak aduan daripada doktor-doktor yang baharu dalam bidang perubatan tetapi sudah berdepan tekanan yang melampau dengan punca yang pelbagai, malah di hospital-hospital di Pulau Pinang lebih ramai berdepan masalah tersebut.
“Selain rekod yang kami diberitahu, hampir 20 peratus doktor muda turut mengaku mereka pernah berjumpa psikiatri atau kaunselor kerana persekitaran ‘toksik’ yang dilalui. Namun, saya menjangkakan, kadar sebenarnya lebih tinggi disebabkan tidak ramai doktor muda mahu mengaku pernah berjumpa psikiatri.
“Mengikut pengalaman saya sendiri, seorang kenalan saya yang juga doktor muda di sebua hospital di Sabah pernah menghantar mesej kepada saya tahun lalu yang memberitahu dia sangat tertekan sehingga hampir bunuh diri. Namun, ia tidak berlaku kerana masih berpegang pada iman sebagai seorang Islam.
“Cuma, komen saya tidak mencerminkan kes kelmarin melibatkan seorang doktor dilaporkan meninggal dunia atau berkait dengan sebarang kejadian buli. Saya serahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Cuma, hakikatnya, buli atau `seangkatannya’ memang wujud dalam kalangan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dianggarkan seramai 10,000 hingga 12,000 doktor muda sedang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan negara ini dan pengambilan setiap tahun adalah 5,000 pegawai perubatan siswazah.
Doktor pelatih lelaki
Kelmarin, media melaporkan seorang doktor pelatih lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di Georgetown, Pulau Pinang.
Mengikut maklumat kejadian tersebut berlaku pada 17 April lalu atau lebih minggu sebelum ia `dihidu’ media.
Untuk rekod, seorang lagi doktor pelatih yang meletak jawatan di hospital sama di negeri itu dilaporkan telah meninggal dunia secara mengejut pada Disember 2020.
Susulan kejadian tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan berhubung kes kematian itu.
JKN antara lain turut memohon kerjasama semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat palsu kerana kes masih dalam siasatan di samping menghormati keluarga mangsa.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kelmarin pula mendedahkan telah membantu sebanyak 120 kes pegawai perubatan yang mendapatkan khidmat psikiatri dan kaunseling sejak 2017, ekoran tekanan di tempat kerja sehingga mengakibatkan gangguan mental serius.
Tekanan
Dalam perkembangan lain, wujud juga tekanan menyaksikan doktor-doktor pelatih terpaksa bekerja lebih masa sehingga 80 jam atau lebih dalam seminggu.
Berdasarkan jurnal bertajuk Workplace Bullying Among junior Doctors in Malaysia: A Multicentre Cross-Sectional Study diterbitkan oleh National Library of Medicine, menerusi kajian dijalankan di 12 hospital kerajaan yang diakreditasi untuk latihan klinikal di Malaysia melibatkan 1,074 pegawai perubatan, sebanyak 13 peratus dalam kalangan responden mengakui dibuli di tempat kerja dalam masa enam bulan bekerja.
Ia dikaitkan dengan melakukan kerja-kerja di bawah tahap kecekapan, dihina atau dipersenda berkaitan tugas, diherdik malah menjadi sasaran kemarahan spontan oleh pegawai-pegawai yang telah berkhidmat lebih lama.
Mengulas mengenai kajian itu, Muhammad Yassin berkata, 13 peratus doktor muda dibuli adalah jauh lebih rendah daripada tinjauan yang dilakukannya.
“Kemungkinan besar sebab ramai yang tidak mahu tampil ke hadapan apabila kajian itu dilakukan oleh doktor-doktor senior atau mereka yang daripada peringkat lebih tinggi. Tinjauan hartal pula masih dalam proses analisis, jadi dapatan kajian belum diumumkan,” katanya.- UTUSAN










