Penyanyi, komposer Yassin terima rawatan pakar psikiatri

Penyanyi, komposer Yassin terima rawatan pakar psikiatri

MUHAMMAD Yassin Sulaiman (tengah) diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Petaling Jaya hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Penyanyi nasyid terkenal dan komposer, Muhammad Yassin Sulaiman yang didakwa mengedar dadah jenis ganja, mula menerima rawatan pakar psikiatri di Hospital Sungai Buloh, semalam.

Peguam Ariff Azami Hussein berkata, anak guamnya yang turut didakwa kerana menanam pokok ganja, dijadual mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh enam minggu di hospital sama.

Beliau yang hadir bersama-sama peguam Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff memberitahu mahkamah, rawatan itu diuruskan oleh Penjara Sungai Buloh ekoran permohonan yang dikemukakan pada prosiding lalu agar Muhammad Yassin, 47, segera diberi rawatan pakar.

Berdasarkan surat permohonan kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 12 April lalu, pihak pembelaan melawat tertuduh pada 7 April lalu.

Surat itu yang diperoleh oleh petugas media menyebut, Muhammad Yassin sendiri memaklumkan bahawa dia memerlukan doktor pakar segera untuk rawatan kesihatan mental (Bipolar Disorder).

”Kami ingin memaklumkan perkembangan bahawa proses rawatan diuruskan oleh pihak penjara dan OKT (Orang Kena Tuduh) telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Walaupun agak lewat (Yassin dibawa untuk rawatan), kami ucap terima kasih kepada pihak penjara kerana memungkinkan rawatan itu,” ujar peguam bela dalam prosiding di dua mahkamah berbeza.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini berhubung perkembangan laporan kimia kedua-dua kes yang dihadapi oleh Muhammad Yassin. Prosiding itu disebut di hadapan Hakim Jamaludin Mat dan Majistret  Zhafran Rahim Hamzah.

Terdahulu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim dan Maryam Jamilah Ab. Manaff memaklumkan, laporan kimia belum disiapkan dan pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan lain dalam tempoh sebulan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 Jun ini sebagai tarikh sebutan penyerahan laporan kimia.

Muhammad Yassin didakwa di Mahkamah Majistret pada 31 Mac lalu atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di kediamannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini pada pukul 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yassin turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, bagi satu lagi pertuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya