Primadona tanah air, Erra Fazira, meluahkan kebimbangan terhadap trend segelintir wanita masa kini yang dilihat terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi di media sosial sehingga melibatkan pendedahan aib sendiri.
Menurut Erra, senario seperti mendedahkan kisah penyondol, konflik rumah tangga, perceraian malah tindakan yang dilihat seakan ‘menjual diri’ demi perhatian umum bukanlah sesuatu yang wajar dinormalisasikan dalam masyarakat.
Sebagai seorang yang lebih bersifat ‘old school’, Erra mengakui kurang selesa dengan budaya keterbukaan melampau seperti itu yang kini dilihat semakin dinormalisasikan orang ramai.
“Saya sebenarnya bukan seorang yang suka berkongsi terlalu banyak perkara peribadi, apatah lagi yang bersifat negatif seperti salah faham, perasaan tersinggung atau konflik rumah tangga.
“Bagi saya, perkara seperti itu tidak perlu diketahui umum. Kalau sesuatu itu memberi inspirasi, kebahagiaan atau motivasi kepada orang lain, tidak mengapa untuk dikongsikan. Tetapi yang tidak baik, cukuplah kita simpan dan selesaikan sendiri,” katanya.
Pelakon dan penyanyi berpengalaman itu turut menegaskan bahawa sejak awal perkahwinan lagi, dia dan pasangan telah mencapai kata sepakat untuk menjaga batas dalam berkongsi kehidupan peribadi kepada umum.
“Kalau berlaku kecil hati atau perselisihan, saya tidak suka ia diketahui orang lain, apatah lagi melalui media sosial.
“Malah, kalau boleh, orang di sekeliling pun tidak perlu tahu. Kita sepakat dalam hal ini. Bagi saya, tidak semua perkara perlu dikongsi kerana di luar sana sudah terlalu banyak cerita negatif,” jelasnya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka ACGAS, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai isu yang dibangkitkan,Erra melihat perkara itu sebagai sesuatu yang membimbangkan jika tidak dikawal.
“Saya tidak mengikuti trend seperti itu, tetapi saya rasa perkara ini memerlukan kesedaran dan tanggungjawab bersama. Kalau tiada permintaan dan sokongan, perkara itu tidak akan berleluasa.
“Kadangkala walaupun sekadar komen seperti ‘cantik’ atau sokongan kecil, ia sebenarnya menyumbang kepada normalisasi perkara tersebut.Saya risau jika perasaan malu itu semakin hilang. Sedangkan dalam kehidupan, rasa malu itu sangat penting. Kita tidak sepatutnya menggalakkan atau menormalkan perkara yang membuka aib sendiri.
“Jika perkara ini terus disokong, ia boleh menjadi kebiasaan dalam masyarakat, sedangkan kita masih ada ruang untuk mengawalnya melalui kesedaran,” katanya.
Dalam masa sama, Erra menasihatkan agar masyarakat lebih bijak menilai kandungan di media sosial serta tidak mudah terpengaruh dengan trend yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada nilai dan maruah diri.
“Cukuplah kita berkongsi perkara yang baik-baik sahaja. Yang menyakitkan atau tidak elok itu, kita tanggung dan uruskan sendiri. Tidak semua perkara perlu menjadi tontonan umum,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Erra turut menjelaskan bahawa beliau tidak selesa memaparkan konflik rumah tangga kepada umum, termasuk melalui media sosial.
“Saya tidak suka jika berlaku perselisihan faham, kemudian semua orang tahu. Malah, kalau boleh, orang terdekat pun tidak perlu tahu. Itu adalah perkara peribadi yang perlu diselesaikan sendiri,” jelasnya.
Mengulas mengenai penggunaan media sosial, Erra mengakui dirinya lebih berhati-hati dan memilih untuk berkongsi perkara yang wajar sahaja.
“Di luar sana sudah terlalu banyak perkara negatif. Jadi, biarlah kita berkongsi yang baik-baik sahaja. Perkara yang tidak menyenangkan, kita simpan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai kehidupannya sejak berumah tangga kembali, Erra mengakui bahawa suaminya lebih gemar merakam dan berkongsi momen, manakala dirinya memilih pendekatan lebih sederhana.
“Saya juga bukan seorang yang terlalu gemar berkongsi setiap momen bersama suami di media sosial. Saya berkongsi sekadar yang perlu sahaja. Suami saya pula lebih gemar merakam gambar dan video serta menghargai setiap momen.
“Jadi, biarlah dia yang lebih banyak berkongsi. Saya pula kekal dengan cara saya sejak sebelum berkahwin,” katanya.
Selain itu, Erra turut mengakui fasa awal rumah tangga yang dilaluinya kini dipenuhi dengan kemanisan serta proses mengenali pasangan dengan lebih mendalam.
“Semua pasangan yang baru berkahwin pasti melalui fasa manis. Kami juga masih dalam proses memahami antara satu sama lain, termasuk mengenali sifat sebenar masing-masing.
“Disebabkan pengalaman lalu, ada kalanya kami akan berbincang secara terbuka dan menetapkan sempadan tertentu. Kami cuba mengelakkan perkara yang pernah memberi kesan negatif sebelum ini, kerana kami bimbang ia boleh menjejaskan hubungan dalam jangka masa panjang,”katanya.










