KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang melanggar seorang anggota polis trafik di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, Jumaat lalu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, di Tanjung Rambutan, Perak.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid mengarahkan sedemikian selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah, 40, menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Terdahulu, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, tertuduh memaklumkan dia ada penyakit serius sehingga menyebabkan dia tidak dapat mengingati kejadian tersebut.
“Saya faham pertuduhan, tetapi saya sakit serius dan tidak ingat (kejadian),” kata Muhammad Kamal.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh dengan cara melanggar seorang anggota polis trafik, Konstabel Roslan Salleh, 27, yang boleh menyebabkan kematian menggunakan kereta jenis Perodua Axia pada pukul 10.47 malam, 10 April lalu, di Jalan Sultan Yahya Petra di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha yang tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pelanggaran itu menyebabkan kecederaan serius terhadap mangsa dan turut menjadi perhatian ramai.
Peguam bela, G. Nanda Goban yang mewakili tertuduh turut bersetuju agar jaminan tidak diberikan dan sebaliknya mencadangkan Muhammad Kamal menjalani pemeriksaan di institusi kesihatan mental.
Pendakwaan turut bersetuju dengan cadangan peguam agar Muhammad Kamal dihantar untuk pemeriksaan dan penilaian psikiatri.
Dalam kejadian sekitar pukul 10.47 malam Jumaat lalu, seorang anggota trafik cedera akibat dilanggar sebuah Perodua Axia ketika bertugas mengawal lalu lintas di Jalan Sultan Yahya Petra.
Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa dilanggar dari belakang sebelum kenderaan itu melarikan diri dari tempat kejadian.
Insiden itu menyebabkan mangsa cedera di tapak tangan kanan dan belakang kepala serta sakit di bahagian rusuk.
Roslan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan. – UTUSAN










