Op Selamat: 1,160 kemalangan, 15 kematian - Utusan Malaysia

Op Selamat: 1,160 kemalangan, 15 kematian

ANGGOTA trafik memeriksa penunggang motosikal pada Operasi Bersepadu Enam Kesalahan Utama Lalu Lintas bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Maxwell, Ipoh semalam. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Operasi Selamat ke-18 (Op Selamat 18) yang memasuki hari ketujuh kelmarin merekodkan 1,160 kes kemalangan dengan 15 kematian di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan bilangan kemalangan berbanding Op Selamat 15/2019 iaitu sebanyak 16 peratus atau 157 kes.

“Sejak Op Selamat 18/2022 dilancarkan Jumaat lalu, 15 kemalangan maut dengan 15 kematian direkodkan berbanding 10 kemalangan maut dengan 11 kematian pada 2019.

“Sepanjang tempoh itu juga, daerah Ipoh mencatatkan jumlah tertinggi kes kemalangan sebanyak 294 kes diikuti Tapah (124), Taiping (122), Hilir Perak (82), Kuala Kangsar (78), Manjung (77) dan Kerian (73),” katanya ketika ditemui pada Operasi Bersepadu Enam Kesalahan Utama Lalu Lintas bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Maxwell di sini semalam.

Menurut Azizan, penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan sembilan kes diikuti lima pemandu dan penumpang serta seorang pejalan kaki.

Katanya, Jalan Persekutuan merekodkan jumlah kemalangan maut tertinggi dengan sembilan kes diikuti empat kes di lebuh raya dan satu kes masing-masing di jalan bandaran dan jalan lain.

“Peningkatan jumlah nahas jalan raya dan bilangan mereka yang maut itu amat membimbangkan. Oleh itu, JSPT Perak berusaha mengawal kadar kemalangan daripada terus meningkat dengan menempatkan pegawai dan anggota di kawasan ‘blackspot‘ yang telah dikenal pasti,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 9,975 saman trafik dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negeri dengan pandu laju merekodkan bilangan saman tertinggi dengan 2,972 kes diikuti kesalahan meletak kenderaan di kawasan larangan (461), lesen (339), abai peraturan lalu lintas (271) dan tali pinggang keledar (178).

“Jumlah saman yang dikeluarkan pada operasi kali ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 898 berbanding 9,077 saman bagi operasi sama pada 2019,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai operasi yang diadakan bermula pukul 4 petang semalam, Azizan memberitahu, sebanyak 66 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Katanya, tidak mematuhi isyarat lalu lintas merekodkan jumlah saman tertinggi sebanyak 35 saman diikuti tiada lesen memandu (9), gagal tunjuk lesen (6) dan tidak memakai tali pinggang keledar (6).

“Pihak JSPT akan sentiasa menjalankan operasi seperti ini dan mengambil tindakan tegas kepada pengguna jalan raya yang masih ingkar terhadap peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN