PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan nilai mata wang ringgit akan bertambah kukuh meskipun berlaku penyusutan nilai mata wang negara baru-baru ini.
Katanya, keyakinan itu adalah berdasarkan kepada asas ekonomi yang kukuh dan pengurusan ringgit yang berhemah, sekali gus dapat menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Berdasarkan faktor-faktor semasa, nilai ringgit dijangka kekal stabil memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) menguruskan mata wang tempatan secara aktif untuk memastikan turun naik ringgit adalah terkawal dan tidak keterlaluan supaya sektor ekonomi dapat membuat perancangan pelaburan dan perbelanjaan berdasarkan nilai ringgit yang lebih stabil.
“Yang lebih penting ialah asas-asas kukuh dalam ekonomi kita seperti prospek pertumbuhan ekonomi negara yang kekal teguh,” katanya dalam kenyataan.
Malah katanya, ringgit akan terus mengukuh berikutan ekonomi berkembang sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021 dan lima peratus pada suku pertama 2022.
“Ini turut dicerminkan oleh analisis terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan perkembangan KDNK Malaysia sebanyak 5.75 peratus pada 2022, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang terpendam dan permintaan luar yang terus kukuh.
“Pada masa sama, jangkaan baki akaun semasa yang kekal dengan lebihan bermakna permintaan terhadap ringgit terus kukuh,” katanya.
Disebabkan itu, Tengku Zafrul yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada tahun ini, sekali gus menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit.
“Pihak Kementerian Kewangan dan BNM akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi negara dan akan memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










