Juruterbang mengaku tidak bersalah gagal patuh pelan penerbangan

Nasi ganja: Juruterbang bergelar Datuk mengaku tidak bersalah gagal patuh pelan penerbangan

DATUK Mohamed Raffe K. Chekku (depan) didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi pelan penerbangan yang ditetapkan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang juruterbang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi pelan penerbangan yang dikemukakan apabila membuat pendaratan pesawat di lokasi lain selain aerodrome, Julai tahun lalu.

Datuk Mohamed Raffe K. Chekku, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Raffe didakwa telah melanggar kaedah-kaedah udara seperti yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam dalam Civil Aviation Directive 2 – Rules Of The Air’ di bawah Chapter 3 iaitu tidak mematuhi pelan penerbangan yang dikemukakan apabila membuat pendaratan pesawat jenis Bell 505, Nombor pendaftaran 9M-RCI di lokasi lain selain aerodrome.

Perbuatan itu didakwa dilakukan beliau di kawasan Padang Ipoh, Jalan Tun Sambanthan dalam daerah Kinta antara pukul 9.50 hingga 10 pagi, 23 Julai 2021.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Peraturan 77 (2), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206(3)(a) Peraturan yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Jean Sharmila manakala Mohamed Raffe diwakili peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sindhu.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Menerusi laporan akhbar 23 Julai tahun lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di padang Ipoh pada pukul 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.

Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai nasi ganja.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid sebelum ini mengesahkan bahawa helikopter tersebut mempunyai kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Bagaimanapun, surat kebenaran berkenaan adalah bagi keperluan penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance) untuk penerbangan dari Subang ke Ipoh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya