Mangsa banjir sedia pindah jika ada penempatan baharu

Mangsa banjir sedia pindah jika ada penempatan baharu

KEADAAN kereta jenis Proton Saga FLX milik Kamarul Azzra J. C. Rais yang rosak dalam kejadian banjir di Kampung Sum Sum Janda Baik, Bentong, Pahang, 11 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Mangsa banjir Kampung Sum Sum, Janda Baik di sini sedia berpindah jika terdapat penempatan baharu yang lebih selamat agar situasi musibah itu yang melanda kampung berkenaan pada 11 Mei lalu tidak terus dialami.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, mangsa, Kamarul Azzra J. C. Rais, 34, berkata, jika diberi peluang, mereka mahu mencuba memulakan kehidupan di penempatan baharu.

“Seandainya ada cadangan untuk kami berpindah ke tempat lebih selamat, kami ingin mencuba untuk berpindah,” katanya di sini semalam.

Kamarul Azzra berkata, sejak kejadian 11 Mei itu, dia bersama empat lagi keluarga yang tinggal berhampiran sungai kampung tersebut berasa trauma dan bimbang sekiranya keadaan sama berulang.

“Kelmarin (Rabu) hujan lebat dan kami sudah berasa tidak sedap hati apabila melihat air sungai menjadi terlalu keruh dan hampir melimpah keluar.

“Kami bimbang kejadian sama berulang dan disebabkan itu, kami bersiap sedia memindahkan barangan kami di tempat yang selamat,” katanya.

Katanya, kejadian banjir itu pertama kali melanda Kampung Sum Sum sepanjang dia menetap di situ.

“Rumah yang saya duduk adalah pusaka nenek dan sejak dari zaman nenek saya tinggal di sini, kami tidak pernah dilanda banjir.

“Sebelum ini, air sungai di kampung kami ini hanya menjadi penanda aras sekiranya berlaku banjir di kawasan lebih rendah. Namun tidak sangka kali ini ia melanda kawasan kami pula,” katanya.

Dalam kejadian itu juga, Kamarul Azzra yang mempunyai seorang isteri dan tiga anak tinggal sehelai sepinggang selain mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Ini kerana kelengkapan dan sebahagian rumahnya rosak selain kehilangan satu-satunya kereta yang digunakan untuk berulang-alik pergi kerja di Elektriksola Malaysia Sdn. Bhd.

Katanya, turut musnah dalam kejadian itu adalah alatan kamera termasuk komputer riba yang digunakan untuk mencari rezeki dari kerja sampingan sebagai seorang jurugambar perkahwinan..

Kamarul Azzra dalam masa sama melahirkan rasa terkilan apabila ada pihak yang terlepas pandang sumbangan yang sepatutnya diberikan kepadanya serta empat lagi keluarga yang terjejas di kampung terbabit.

“Kami terlepas sumbangan awal kerana dikatakan lewat mendaftarkan diri sedangkan kami berpendapat ia menjadi tugas seseorang untuk cakna tentang mangsa-mangsa yang terjejas.

“Bagaimanapun kami merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak yang telah menyumbang termasuk beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang hadir bagi membantu meringankan beban kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada Kamarul Azzra melalui akaun Maybank miliknya (106138308190) atau akaun Maybank milik isterinya, Farah Azlinda (163019663066). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya