Lelaki larikan isteri orang, rempuh kereta polis ditahan

Lelaki larikan isteri orang, rempuh kereta polis ditahan

TANGKAP layar video tular dalam media sosial memaparkan kereta dipandu suspek dikejar kenderaan peronda polis di sekitar Sitiawan dan Seri Manjung hari ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Ibarat dalam filem aksi, seorang lelaki bertindak nekad melarikan kereta isteri orang dan melanggar lampu isyarat, merempuh sebuah kenderaan polis yang menghalangnya.serta cuba melarikan sebuah motosikal sebelum ditahan dalam pergelutan dengan anggota polis pagi ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, terdahulu suspek berusia 31 tahun menghubungi wanita berusia 34 tahun yang dikenalinya melalui aplikasi Wechat sejak empat bulan lalu pada pukul 7.30 pagi bagi meminta bantuan.

Menurutnya, suspek meminta wanita itu yang bekerja sebagai juruwang mengambilnya di sebuah premis di Sitiawan dan dia ke situ dengan menaiki sebuah kereta.

Wanita itu turut meminta suaminya mengekorinya secara berasingan kerana bimbang keselamatan diri.

“Sebaik sahaja tiba, suspek mahu memandu kereta wanita itu dengan alasan ada orang sedang mengejarnya sebelum lelaki itu menyedari kehadiran suami wanita itu dan rakannya dalam kereta lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nor Omar, suspek memandu kereta mangsa menghala ke Seri Manjung dalam keadaan berbahaya dan enggan berhenti apabila diarahkan oleh kereta peronda polis yang berada berhampiran.

Jelas beliau, suspek bukan sahaja tidak mahu memberhentikan kereta, sebaliknya terus memecut dan melanggar isyarat lalu lintas.

Katanya, sebaik sahaja tiba di hadapan bangunan Toyota Seri Manjung, kenderaan peronda polis bertindak menghalang jalan, namun suspek melanggar sebuah kenderaan polis dan terus memecut laju.

“Apabila tiba di hadapan sebuah restoran, suspek menghentikan kereta dan cuba pula mengambil motosikal milik seorang wanita tetapi gagal, memaksa dia kembali masuk ke dalam kereta.

“Anggota polis yang tiba cuba menahan suspek dan berlaku pergelutan sebelum lelaki itu ditahan,” jelasnya.

Menurut beliau, siasatan awal punca kejadian adalah kerana suspek menyangka suami dan rakan suami mangsa adalah pemungut hutang berikutan dia sebelum ini telah beberapa kali melarikan diri kerana masalah hutang.

Nor Omar memberitahu, suspek yang juga penganggur mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan penyalahgunaan dadah manakala saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seorang wanita bersuami dengan niat jenayah.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 188 kanun sama kerana mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam serta Seksyen 186 juga kanun sama kerana menggalang penjawat awam dalam menjalankan tugas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya