ALOR GAJAH: Seramai 14 anggota bomba bertungkus-lumus lebih 24 jam melakukan operasi mengalihkan tumpahan bahan kimia seberat 43.1 tan susulan kemalangan di Kilometer 215.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (arah utara).
Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan berhubung nahas membabitkan treler membawa muatan bahan kimia diterima pada pukul 2.56 pagi, semalam.
Katanya, sepasukan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan Ayer Keroh ke lokasi bagi operasi penyelamatan.
“Setibanya di lokasi, terdapat sebuah treler membawa muatan bahan kimia kod SW501, jenis pepejal bahan buangan berjadual aluminium debu berkuantiti 43.1 tan terbabas di bahu kiri jalan. Pasukan Hazmat kemudian melakukan operasi pengalihan bahan kimia tersebut bagi dihantar ke Pusat Kualiti Alam di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, operasi itu mengambil masa susulan pasukannya berdepan dengan cabaran cuaca hujan yang mencetuskan tindak balas kimia.
“Cuaca hujan menyebabkan bahan ini bertindak balas menjadi beracun dan memanas. Pasukan kita terpaksa menangguhkan kerja pengalihan dan menutup bahan kimia menggunakan kanvas kalis air,” jelasnya. – UTUSAN










