JOHOR BAHRU: Keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam ke Singapura selama sebulan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran kembali stabil bakal merugikan penternak tempatan.
Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng berkata, langkah kerajaan yang bersifat sementara untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan itu menyebabkan Singapura mencari bekalan import ayam dari negara lain selepas ini.
“Paling ketara, kami kehilangan pasaran eksport ke Singapura selepas ini kerana sudah tentu mereka mencari alternatif lain termasuk bekalan dari negara lain bagi menggantikan ayam yang tidak dihantar ke sana.
“Situasi itu sedang menimpa pengusaha telur ketika Malaysia turut menghentikan sementara eksport semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang mana berlaku lambakan selepas bekalan itu kembali pulih,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekatan eksport ayam ke Singapura adalah langkah jangka pendek bagi memastikan bekalan tersebut mencukupi dalam negara.
Ka Leng berkata, sebelum larangan eksport telur, mereka mengeksport kira-kira empat juta telur sebulan ke Singapura, namun negara itu kini mengurangkan import sehingga separuh yang akhirnya mengakibatkan lambakan bekalan.
“Perkara itu yang merisaukan kami sekiranya bekalan ayam untuk pasaran tempatan kembali pulih dan eksport dibenarkan semula, tidak mustahil jumlah permintaan negara pengimport akan berkurangan sama seperti telur yang akhirnya merugikan penternak,” katanya.
Baru-baru ini, Singapore Food Agency (SFA) memaklumkan, mereka memantau rapat situasi import ayam dari Malaysia selain bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan untuk meminimumkan kesan bekalan.
“Sebagai contoh, kami akan mengaktifkan rantaian bekalan untuk meningkatkan import ayam sejuk daripada sumber alternatif, meningkatkan import ayam sejuk beku daripada pembekal bukan Malaysia sedia ada atau mengambil daripada stok ayam itik,” kata agensi itu.
SFA memaklumkan kira-kira 34 peratus daripada import ayam Singapura pada 2021 adalah dari Malaysia dengan hampir kesemuanya diimport dalam bentuk ayam hidup yang disembelih dan disejukkan di negara itu. – UTUSAN