Trump sifatkan parti politik baharu Musk 'mengarut' dan 'mengelirukan' - Utusan Malaysia

Trump sifatkan parti politik baharu Musk ‘mengarut’ dan ‘mengelirukan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menyifatkan rancangan Elon Musk menubuhkan parti politik baharu sebagai ‘mengarut’ dengan menyatakan Musk boleh berseronok dengan projek itu, tetapi Amerika Syarikat (AS) berfungsi paling baik di bawah sistem dua parti.

Sehari selepas Musk meningkatkan pertikaian dengan Trump dan mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu di AS, Presiden Republikan itu ditanya mengenainya sebelum menaiki Air Force One di Morristown, New Jersey, dalam perjalanan pulang ke Washington selepas melawat kelab golfnya yang berdekatan.

“Saya rasa ia mengarut untuk memulakan parti ketiga. Kami telah mencapai kejayaan besar dengan Parti Republikan. Demokrat telah tersasar, tetapi negara ini sejak dulu berfungsi dengan sistem dua parti, dan saya rasa menubuhkan parti ketiga hanya menambahkan kekeliruan.

“Sistem ini seolah-olah dibangunkan untuk dua parti. Parti ketiga tidak pernah berjaya, jadi dia boleh berseronok dengannya, tetapi saya rasa ia mengarut,” kata Trump.

Musk pada hari Sabtu mengumumkan beliau akan menubuhkan “Parti Amerika” sebagai tindak balas kepada rang undang-undang pemotongan cukai dan perbelanjaan yang diluluskan Trump, yang menurut Musk akan menyebabkan negara muflis.

Sebagai reaksi, firma pelaburan Azoria Partners, yang merancang melancarkan dana yang dikaitkan dengan syarikat kenderaan elektrik Tesla milik Musk, berkata mereka menangguhkan usaha itu kerana penubuhan parti tersebut menimbulkan “konflik dengan tanggungjawab sepenuh masa beliau sebagai CEO.”

Musk, yang pernah berkhidmat sebagai penasihat utama kepada Trump dalam usaha mengecilkan dan merombak kerajaan persekutuan pada awal pentadbirannya, berkata partinya yang baharu akan cuba menyingkirkan ahli Kongres Republikan yang menyokong rang undang-undang besar itu dalam pilihan raya separuh penggal tahun depan, yang dikenali sebagai “rang undang-undang besar dan indah.”

Bercakap dalam program CNN “State of the Union” pada hari Ahad, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata lembaga pengarah syarikat-syarikat Musk iaitu Tesla dan syarikat roket SpaceX mungkin lebih suka jika Musk menjauhkan diri daripada politik.

“Saya bayangkan lembaga pengarah itu tidak menyukai pengumuman semalam (Sabtu) dan akan menggalakkan beliau menumpukan perhatian kepada urusan perniagaan, bukan kegiatan politik,” kata Bessent.

Musk telah membelanjakan jutaan dolar untuk menyokong usaha pemilihan semula Trump pada 2024 dan, pada satu ketika, sering dilihat bersama presiden di Pejabat Oval dan tempat-tempat lain.

Perselisihan mereka berhubung rang undang-undang perbelanjaan itu membawa kepada keretakan hubungan yang cuba diperbaiki oleh Musk, namun tidak berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN