HUNT: Ratusan anggota penyelamat dikerahkan bagi mencari mangsa yang masih hilang di Texas Tengah selepas banjir kilat terburuk meragut 78 nyawa, termasuk 28 kanak-kanak.
Kawasan yang paling teruk terjejas ialah Kerr County, di mana 43 orang dilaporkan maut dengan 10 kanak-kanak masih hilang selepas menyertai sebuah kem belia Kristian yang terletak di sepanjang Sungai Guadalupe.
“Usaha pencarian akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui,” kata Sheriff Kerr County, Larry Leitha.
Kematian turut disahkan di beberapa kawasan lain di negeri itu, termasuk di Travis County dan Tom Green County.
Beberapa amaran banjir kilat masih berkuat kuasa sepanjang hujung minggu ini di Texas Tengah.
Setakat ini, kira-kira 850 orang sudah berjaya diselamatkan.
Dalam satu sidang media pada petang Sabtu, Gabenor Texas, Greg Abbott memaklumkan sudah menandatangani pengisytiharan bencana yang diperluaskan bagi mempertingkatkan usaha pencarian dan menyelamat.
Pihak penyelamat dilaporkan berulang-alik menyusuri Sungai Guadalupe untuk mencari mangsa yang mungkin dihanyutkan oleh banjir kilat.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, pentadbirannya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi menangani situasi kecemasan ini.
Usaha menyelamat banyak tertumpu di sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak perempuan, Camp Mystic, yang terletak di tebing Sungai Guadalupe.
Timbalan Gabenor Texas, Dan Patrick, memberitahu program Radio 4 BBC, seramai 750 kanak -kanak perempuan menyertai kem tersebut dan 27 yang masih hilang itu berumur bawah 12 tahun.
Gambar dari lokasi kem menunjukkan suasana menyedihkan dengan selimut, tilam, anak patung dan barang-barang peribadi lain diliputi lumpur.
Ramai kanak-kanak itu dilaporkan sedang tidur ketika air sungai naik lebih lapan meter dalam masa kurang satu jam, awal pagi Jumaat lalu.
Pengarah kem musim panas Heart O’ The Hills yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari Camp Mystic, Jane Ragsdale, turut disahkan meninggal dunia.
Tidak bersedia hadapi bencana alam
Menurut Naib Presiden Sains Climate Central, Kristina Dahl, Texas Tengah mencatatkan peningkatan kira-kira 20 peratus dalam jumlah hujan semasa sejak tahun 1970, satu trend yang turut dikesan di seluruh AS dan di peringkat global.
“Apabila iklim kita semakin panas, atmosfera berupaya menampung lebih banyak wap air, menjadikan hujan lebat yang melampau seperti ini lebih berkemungkinan berlaku dalam tempoh masa yang singkat.
“Jelas sekali kehilangan nyawa akibat ribut terbaharu ini menunjukkan betapa negara masih belum bersedia untuk menghadapi bencana berskala besar apatah lagi insiden yang lebih dahsyat yang dijangka berlaku akibat pemanasan global berterusan planet kita,” katanya kepada wartawan CNN.
Dahl berkata, suhu permukaan luar biasa hangat di Teluk Mexico antara faktor utama yang menyumbang kepada kekuatan ribut tersebut.
“Keadaan ini menghasilkan sistem udara yang sangat panas dan lembap, yang menyebabkan hujan turun dalam jumlah yang amat besar di Texas Tengah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pemotongan dana terhadap agensi-agensi penting seperti Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) yang boleh menjejaskan keupayaan tindak balas segera serta ramalan jangka panjang terhadap bencana.
“Kita perlukan khidmat para pakar ini untuk melindungi rakyat 24 jam sehari di setiap pejabat mereka di seluruh negara.
“Meramalkan ribut seperti ini di mana hujan paling lebat akan turun dan bagaimana ia akan berubah menjadi banjir merupakan cabaran saintifik yang amat besar,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem berkata, Trump akan menaik taraf teknologi di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) dan NOAA.
“Kita perlu memperbaharui sistem lapuk ini,” kata Noem dalam satu sidang media.
Ketika ditanya mengenai dakwaan penduduk tidak diberi amaran awal yang mencukupi mengenai banjir, Noem berkata, beliau akan menyampaikan kebimbangan tersebut kepada kerajaan Persekutuan.
Pegawai dan penduduk tempatan turut mengakui terkejut dengan kepantasan dan kekuatan banjir yang melanda.
“Kami tidak menjangkakan banjir ini akan melanda. Malah, hujan yang turun adalah dua kali ganda daripada apa yang diramalkan,” kata Pegawai Daerah Kerr, Rob Kelly.
Seorang penduduk Kerrville, Soila Reyna, 55, membantu mangsa yang kehilangan harta benda selepas menyaksikan sendiri kemusnahan yang berlaku.
“Sudah bertahun-tahun sejak banjir terakhir berlaku, tetapi tidak pernah seburuk dan sedahsyat ini hingga melibatkan nyawa kanak-kanak dan kehilangan rumah. Ia benar-benar menggerunkan,” tambahnya.










