AS tuduh Hamas dalang serangan terhadap dua petugas GHF

AS tuduh Hamas dalang serangan terhadap dua petugas GHF

PENDUDUK Palestin memeriksa kerosakan akibat serangan Israel di kem Al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Amerika Syarikat (AS) menyalahkan Hamas sebagai dalang serangan terhadap dua petugas pusat agihan makanan dikendalikan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di Gaza.

Organisasi bantuan yang disokong AS dan Israel itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua mangsa kini menerima rawatan perubatan dan berada dalam keadaan stabil serta tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

“Berdasarkan maklumat awal, serangan itu dipercayai dilakukan oleh dua individu yang melemparkan dua bom tangan ke arah petugas warga AS selepas satu pengagihan makanan berjaya dilaksanakan, melibatkan ribuan penduduk Gaza yang menerima bantuan dengan selamat,” kata GHF dalam kenyataan tersebut.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, menyelar tindakan berkenaan dengan menuduh Hamas sebagai pihak yang bertanggungjawab.

“Tindakan keganasan terhadap individu yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza ini jelas menunjukkan keruntuhan moral Hamas.

“GHF telah menyumbangkan lebih 62 juta hidangan dan tiada apa yang akan menghentikan para petugas bantuan yang berani ini. Kami berdoa agar rakyat AS yang cedera segera sembuh,” katanya dalam satu hantaran di platform X.

GHF yang mula mengagihkan bantuan di Gaza pada bulan Mei, mendapatkan khidmat kontraktor tentera swasta dari AS untuk menyediakan keselamatan di tapak-tapak agihannya.

Pihak berkuasa Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh di wilayah itu oleh tentera Israel dalam tempoh 48 jam lalu, termasuk 23 orang berhampiran kawasan pengagihan bantuan.

Kementerian Dalam Negeri Gaza turut memberi amaran kepada penduduk supaya tidak bekerjasama dengan GHF berikutan siri tembakan yang membahayakan nyawa rakyatnya yang kelaparan.

GHF dikritik kerana memintas saluran bantuan tradisional termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyatakan organisasi yang berpangkalan di AS itu tidak bersifat berkecuali mahupun bebas. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×