PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjelaskan sebab utama kes saman terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diselesaikan di luar mahkamah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Aliberkata, permintaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk menyelesaikan kes saman itu di luar mahkamah tidak patut dipenuhi.
“Mengapa perlu tunduk dengan saman orang yang telah ditamatkan perkhidmatan? Biarlah mahkamah putuskan nanti. Keputusan kerajaan tamatkan perkhidmatan Mohamed Apandi dikatakan telah mengikut peraturan, jadi apa yang nak pergi selesaikan luar mahkamah pula.
“Nanti lepas ini mantan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail juga boleh saman kerajaan dan mantan Perdana Menteri keenam iaitu Datuk Seri Najib Razak untuk isu yang sama dan kemudian selesai luar mahkamah lagi.
“Bayar pampasan berjuta-juta lepas tu dirahsiakan. Kenapa perlu rahsiakan? Bukankah ia dibayar dengan wang rakyat maka semestinya rakyat juga perlu diberitahu jumlah pampasan dibayar,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Dr. Mahathir mengakui terkejut susulan kes saman Mohamed Apandi erhadap Kerajaan Malaysia dan beliau yang diselesaikan di luar mahkamah.
Dr. Mahathir berkata, beliau selaku saksi utama juga tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian tersebut.
Susulan itu, Syed Hassan berkata, pihaknya bersetuju dengan bantahan Dr Mahathir terhadap penyelesaian luar mahkamah oleh Kerajaan Malaysia berkaitan saman tersebut.
“Sebelum ini pada zaman Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan bayar berjuta ringgit kepada beberapa hakim yang dipecat berkaitan dengan pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Saleh Abas.
“Kenapa perlu beri ex-gratia sejumlah RM10.5juta kepada mereka sedangan pemecatan mengikut peraturan. Jika tak puas hati kita ada udang-undang, boleh saman kerajaan dan biar mahkamah putuskan.
“Kami menggesa Peguam Negara yang ada sekarang ini, umumkan apa persetujuan selesai luar mahkamah antara kerajaan dengan Mohamed Apandi. Persetujuan kedua-dua pihak untuk tidak dedahkan isi kandung penyelesaian tersebut, tidak boleh diterima sama sekali,” katanya. – UTUSAN










