Kerajaan perlu atasi krisis ringgit, selamatkan ekonomi - Ku Li

Kerajaan perlu atasi krisis ringgit, selamatkan ekonomi – Ku Li

TENGKU Razaleigh Hamzah menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2, Gua Musang, Kelantan, semalam. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kerajaan perlu menumpu langkah pembaikan pasaran tukaran mata wang asing bagi menyelamatkan ekonomi negara daripada terus merosot sehingga menjejaskan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi cadangan itu supaya nilai ringgit tidak terus jatuh bahkan dapat dipertingkatkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, nilai ringgit dijangka akan terus merosot.

“Sekarang ini pun dua hari lalu harga ringgit kita dah turun kepada RM4.40 berbanding 1 dolar AS dan ini akan menjadi lebih teruk.

“Dikatakan akhir tahun ini ramalannya ringgit kita akan jatuh kepada RM5.50 bagi 1 dolar AS. Kalau ini berlaku, sudah tentu susah kita nak beli barangan yang terpaksa diimport.

“Kalau terus jatuh kita tak boleh beli apa-apa. Dah tak ada nilai. Sebagai contoh, kalau nilai ringgit kita jatuh kepada lima sen misalnya apa yang boleh kita beli? Ini masalah sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2, di sini semalam.

Menurut Tengku Razaleigh, rakyat kini sudah terbeban dengan masalah harga barangan asas makanan yang tinggi.

Katanya, rakyat ketika ini perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhati-hati.

“Saya tak nak ugut atau menakutkan sesiapa, keadaan ini akan berlaku. Kita hanya ada dua bulan bekalan makanan padahal penduduk kita lebih ramai berbanding Singapura yang ada bekalan sehingga enam tahun.

“Kalau kita tak ambil tindakan segera kita akan berhadapan dengan masalah. Bukan sahaja masalah ekonomi tetapi masalah sosial dan macam saya sebut tadilah keadaan akan jadi huru-hara serta demonstrasi terutama sekali oleh orang bukan berada,” katanya.

Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan menyelaraskan usaha untuk menangani krisis makanan.

Tindakan itu perlu berikutan situasi kekurangan makanan dan peningkatan harga yang mendadak akibat konflik Rusia-Ukraine.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva berkata, konflik berkenaan telah mencetuskan krisis di seluruh dunia yang menyaksikan banyak negara menghadapi kekurangan makanan dan kenaikan harga makanan, baja dan sumber tenaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya