Kerajaan kena fokus selesaikan kesesakan - Utusan Malaysia

Kerajaan kena fokus selesaikan kesesakan

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta  menangani  masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk khususnya di bandar-bandar utama sebaik Malaysia memasuki peralihan fasa endemik mulai 1 April lalu.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong berkata, masalah itu bukan sahaja boleh mengakibatkan keresahan dan tekanan jiwa tetapi juga menjejaskan produktiviti.

Malah, beliau  bimbang dengan, jumlah kematian dan kemalangan di jalan raya di negara ini yang menduduki tangga kelapan dalam senarai jalan-jalan berbahaya di dunia.

“Ahli-ahli politik daripada kedua-dua belah pihak perlu mengurangkan cakap-cakap tentang kaum dan agama tetapi menumpukan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kita sepatutnya berbincang hal-hal yang lebih penting dalam hidup seperti bekalan makanan, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam dan penebatan banjir kerana semua ini melibatkan kita sebagai rakyat Malaysia, dan ia merentasi semua kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Chin Tong menyifatkan kerajaan perlu mempunyai iltizam politik untuk tidak lagi menggalakkan penggunaan kereta persendirian.

“Hari ini, memandu kereta persendirian telah menjadi satu keperluan kerana ketiadaan pengangkutan awam di banyak tempat di negara kita.

“Malah, di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, tidak banyak perkhidmatan pengangkutan awam yang menyediakan hubungan first mile dan last mile seperti khidmat bas on demand, laluan pejalan kaki, basikal, skuter, dan sebagainya,” katanya.

 

Harga minyak

Selain itu, beliau juga bimbang dengan kesan peningkatan harga minyak terhadap pengangkutan awam.

“Subsidi untuk petrol sahaja dijangka meningkat menjadi RM30 bilion tahun ini, iaitu hampir dua kali ganda daripada peruntukan asal.

“Menaikkan harga minyak tanpa menyediakan pengangkutan awam yang baik untuk sekurang-kurangnya 40% hingga 50% penduduk negara bermakna ramai kalangan berpendapatan rendah akan terpaksa ‘berpindah’ menggunakan motosikal. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa setiap kali harga petrol naik di Malaysia, jumlah kemalangan jalan raya meningkat.

“Memang ada kaitan antara kenaikan harga petrol dan jumlah orang mengubah penggunaan kereta kepada motosikal, dan dengan itu, meningkatkan jumlah kematian dan kemalangan jalan raya,” katanya.

Justeru, katanya, usaha yang agresif perlu dilaksanakan untuk meluaskan perkhidmatan bas dan pengangkutan awam lain untuk membolehkan 40 hingga 50 peratus rakyat mendapat akses kepada sistem pengangkutan awam yang baik.

“Apabila kita tidak banyak menggunakan kereta persendirian ia akan mengurangkan pengeluaran karbon, dan ini dapat membantu mengendurkan kesan masalah perubahan iklim,” katanya.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.