Bola sepak bantu lonjak kehadiran pelajar ke sekolah 90 peratus

Bola sepak bantu lonjak kehadiran pelajar ke sekolah 90 peratus

bola sepak dipilih kerana ia mampu menjadi ‘magnet’ yang membuatkan pelajar bersemangat ke sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU, sekolah bukanlah tempat yang menggembirakan buat kanak-kanak berusia 11 tahun dari Tawau ini.

Jika rakan seusianya sudah mampu membaca, menulis dan mengira dengan baik, dia masih lagi bertatih dalam kemahiran asas tersebut.

Keadaan itu menyebabkan Aqil (bukan nama sebenar) lebih banyak mendiamkan diri, kurang yakin untuk berkomunikasi dan sukar memberikan tumpuan dalam pembelajaran.

Dalam masa sama, dia juga kerap tidak hadir ke sekolah sehingga menimbulkan kebimbangan guru dan ibu bapa.

Namun, situasi itu mula berubah apabila dia menyertai program Celik sejak Januari 2025.

Melalui pendekatan berasaskan pembelajaran di dalam kelas yang digabungkan dengan latihan bola sepak, minatnya terhadap sekolah mula kembali perlahan-lahan.

Kini, dia sudah mampu membaca ayat-ayat pendek tanpa bimbingan guru dan menunjukkan keyakinan untuk mencuba serta berinteraksi di dalam kelas.

Pengasas program itu, Rahman Imuda berkata, Celik dibangunkan sebagai satu pendekatan alternatif untuk menarik minat kanak-kanak kembali ke sekolah melalui kaedah yang lebih dekat dengan dunia mereka.

Katanya, bola sepak dipilih kerana ia mampu menjadi ‘magnet’ yang membuatkan murid lebih bersemangat untuk hadir ke sesi pembelajaran.

Apatah lagi di Tawau, bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi sebahagian daripada kehidupan komuniti.

“Idea ini tercetus daripada pengalaman kami di lapangan bola sepak akar umbi apabila melihat ramai kanak-kanak sebenarnya mempunyai minat yang sangat tinggi terhadap sukan ini.

“Namun dalam masa sama, mereka turut berdepan cabaran asas dalam pembelajaran, khususnya kemahiran membaca, menulis dan mengira.

“Apabila ada sesi bola sepak, mereka akan datang dan peluang itu digunakan untuk menyelitkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Matematik selama empat jam seminggu sebelum latihan bermula,” katanya jurulatih bertauliah ini.

Menurutnya, pelaksanaan program itu menunjukkan perkembangan yang positif apabila kadar kehadiran kumpulan murid tertentu meningkat dengan ketara mencecah hampir 90 peratus.

Bagaimanapun, rekod lengkap kehadiran masih dalam proses dikemas kini melalui sistem pemantauan program bagi mendapatkan angka yang lebih tepat.

Katanya, sebelum ini data awal menunjukkan kadar kehadiran adalah sekitar 60 hingga 70 peratus sahaja.

Projek perintis secara percuma ini melibatkan seramai 80 murid berusia tujuh hingga 12 tahun dari 12 buah sekolah berbeza.

Kebanyakan peserta terdiri daripada keluarga B40, dengan tahap penguasaan (TP) antara 2 hingga 3, pernah memperoleh gred rendah dalam Bahasa Melayu dan Matematik selain mempunyai kehadiran ke sekolah yang tidak konsisten.

Perubahan sikap, pergaulan

Selain peningkatan kadar kehadiran, perkembangan paling ketara yang dapat dilihat adalah dari segi penguasaan literasi dan numerasi asas.

Terdapat murid yang sebelum ini sukar membaca suku kata atau ayat mudah, namun kini sudah mampu menyebutnya.

Dalam Matematik pula, mereka boleh menyelesaikan soalan asas dengan bimbingan.

“Kami tidak mahu mendakwa semua masalah selesai sepenuhnya, tetapi perubahan kecil yang konsisten itu amat penting kerana ia membina semula keyakinan belajar,” katanya.

Perubahan lain yang dikesan ialah pada sikap peserta yang semakin yakin, berdisiplin dan memiliki kemahiran sosial lebih baik.

Di peringkat awal, sebahagian peserta sangat pasif dan hanya mendiamkan diri atau menundukkan kepala apabila ditanya.

Namun selepas beberapa bulan, mereka mula lebih berani meminta bantuan, berkomunikasi dan berinteraksi dengan rakan-rakan.

“Bagi kami, kejayaan terbesar sepanjang lebih setahun program ini ialah apabila murid yang sebelum ini kurang yakin dengan diri sendiri mula percaya yang mereka juga boleh belajar dan berubah,” katanya.

Di seluruh Sabah, kadar keciciran meningkat antara usia 10 hingga 14 tahun (4.2 peratus) dan terus melonjak selepas usia 15 tahun (26 peratus), lebih tinggi berbanding purata nasional.

Gabung akademik, sukan

Rahman yang juga Pengasas bersama dan Pengarah Akademi Bola Sepak TawauKini berkata, program itu melibatkan seramai 12 jurulatih dan empat guru.

Dari segi akademik, pembelajaran bersifat intervensi asas, bukan semata-mata mengulang silibus sekolah.

Fokus pihaknya ialah memastikan pelajar boleh membaca dengan lebih baik, memahami arahan, menulis ayat mudah, mengenal nombor, membuat operasi asas dan membina semula keyakinan untuk belajar.

Bagi aspek bola sepak pula latihan merangkumi kemahiran asas seperti kawalan bola, hantaran, pergerakan, permainan berpasukan dan disiplin latihan.

Dia turut menegaskan, pendekatan itu dirangka supaya peserta tidak berasa seolah-olah ‘dihukum’ untuk belajar.

Sebaliknya, mereka hadir kerana tertarik dengan bola sepak, rakan-rakan, jurulatih, guru dan suasana program yang lebih mesra.

“Apabila mereka hadir dengan hati gembira, barulah proses pembelajaran menjadi lebih mudah,” katanya.

Dia tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan sukan-sukan lain di masa depan bagi menarik lebih ramai kanak-kanak termasuk perempuan untuk menikmati manfaat program itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN