Industri ruminan gagal, Malaysia terus import daging - Utusan Malaysia

Industri ruminan gagal, Malaysia terus import daging

GULAM Manaver berdiri di kawasan hutan belukar yang dibangunkan dengan kandang lembu, rumah kediaman dan tanaman rumput di Padang Ragut Bidor, Perak pada Mei 1995.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Industri ternakan negara terutama penternakan lem­bu terus gagal sekali gus menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada import untuk menampung keperluan bahan makanan itu.

Mengikut rekod, walaupun pelbagai dasar dan insentif dilaksanakan kerajaan, namun untuk tahun 2020, Malaysia hanya mengeluarkan 23 peratus daging lembu, manakala pengeluaran daging kambing hanya 11 peratus.

Bagi memenuhi keperluan ne­gara, mengikut data Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerajaan terpaksa mengimport daging yang semuanya berjumlah RM4.2 bilion pada tahun 2021.

Angka pengeluaran daging ne­gara sangat kecil sedangkan Malaysia berkeluasaan 330,000 kilometer persegi dengan populasi 32.7 juta. Namun hakikatnya, Malaysia tidak mampu mencapai status sara diri (SSL) daging lembu setelah hampir 65 tahun mencapai kemerdekaan.

Perkara itu bukan cakap kosong tetapi dilalui sendiri seorang penternak lembu, Gulam Manaver Mobarak Ali yang berdepan banyak rintangan sepanjang mengusahakan ternakan lembu selama 26 tahun, sejak 1995 hingga sekarang dan masih menyimpan semua bukti-bukti berdokumen.

pada Utusan Malaysia, beliau berkata, walaupun pelbagai pelan strategik dan tindakan pembangunan industri pedaging dibentangkan, tetapi ia masih tidak mencapai hasrat memberansangkan.

Berulang-ulang

Malah, menurut beliau, pelan seumpama itu bukanlah baharu tetapi diumumkan secara berulang-ulang berpuluh tahun lalu dengan menggunakan istilah-istilah terkini.

Terbaharu, 12 hala tuju dibentangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang dikatakan lebih komprehensif bagi memperkasa industri ruminan negara demi mencapai hasrat kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Apakah sebenarnya menghalang Malaysia sukar mencapai tahap SSL walaupun mempunyai kawasan luas dan sesuai untuk penternakan?

“Industri ini lebih sukar mencapai kemajuan apatah lagi timbul isu kartel daging import yang diragui status halal didakwa berlaku sejak 40 tahun lalu dan diakui wujud membabitkan urus niaga bernilai berbilion ringgit,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau mendakwa, kesukaran industri ini untuk bangkit semakin payah apabila wujudnya ‘napoleon kecil’ dalam agensi kerajaan sendiri yang ‘menghalang’ usaha penternakan lembu bagi mencapai SSL.

Perkara itu pernah diakui bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada tahun 2020 bahawa pihaknya akan memusnahkan kerenah birokrasi yang mungkin masih ada terutama membabitkan isu pemberian insentif, subsidi, perolehan, khidmat nasihat serta tempoh menunggu yang tidak relevan.
Disebabkan kerenah birokrasi itu, terdapat banyak bantuan kerajaan dan permohonan penternak tidak dapat dilaksanakan.

JPV Perak

Menceritakan pengalaman menternak di Padang Ragut Bidor (PRB), Perak, beliau memberitahu, walaupun diletakkan di bawah kelolaan JPV Perak, beliau terpaksa mengusahakan sendiri kawasan itu dari kawasan dipenuhi hutan belukar tebal tanpa kandang ternakan.

“Saya membina sendiri kandang lembu dan menanam rumput walaupun ia menjadi tanggungjawab JPV menyediakan kerja-kerja pemulihan hutan belukar kepada tanaman rumput bermutu bagi penternak permulaan sepertinya,” katanya.

Beliau kemudian membeli 17 ekor lembu betina dan seekor pejantan daripada Pusat Ternakan Haiwan, Behrang Ulu, Perak, namun beberapa ekor lembunya yang dibeli daripada pusat ternakan kerajaan itu tidak mencapai kualiti standard Pusat Pengumpulan Susu JPV.

“Sejak itu, saya merayu kementerian menukar sebahagian lembu yang dibeli. Bagaimanapun, dalam surat bertarikh 20 Mei 1997, JPV Ibu Pejabat memaklumkan bersedia menggantikan lapan ekor yang tidak berkualiti tetapi dengan syarat saya membayar 75 peratus daripada harga asal pembelian pertama.

“Bantuan yang dimohon juga tidak dipenuhi sehinggalah saya menerima surat jemputan membentangkan kerumitan yang dialami pada 10 Jun 2008 di Putrajaya dengan dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian ketika itu, Datuk Dr. Zulkifli Idris.

“Saya menyampaikan kisah duka lara menjadi penternak sejak 1995 di PRB dengan fakta, data dan gambar dari mula menjalankan penternakan, termasuk buku daftar lawatan pegawai yang hadir ke ladang,” katanya.

Menulis surat

Beliau memberitahu, KSU ketika itu meminta beliau menulis surat kepada kementerian memohon bantuan yang diperlukan dan surat bertarikh 7 Julai 2008 disampaikan kepada KSU seperti yang diputuskan.

Malangnya selepas berbulan-bulan menanti, Gulam memberitahu beliau menerima surat balas “Jabatan beranggapan segala perkara yang dibangkitkan telah pun selesai dan diperjelaskan sewajarnya kepada tuan”.

Menceritakan lanjut, bekas pegawai bank itu berkata, hampir setiap tahun selepas itu, dia memohon dipertimbangkan pemberian lembu ganti, tetapi tiada jawapan sehingga terkini pada 7 April lalu, dalam mesyuarat di Putrajaya yang dihadiri oleh anaknya, Muhamad Abbas Gulam Manaver turut dimaklumkan tiada lembu ganti akan diberikan atas alasan perkara itu sudah lama berlalu.

“Bayangkan betapa sukar seorang penternak untuk memperoleh bantuan, bagaimana industri ini mahu berjaya sekali gus negara tidak lagi perlu bergantung kepada import?

“Persoalannya, setelah hampir 65 tahun mencapai kemerdekaan dan pelbagai dasar sekuriti makanan diperkenalkan, apakah dengan dasar baharu ini tiba-tiba Malaysia akan muncul cemerlang dalam penghasilan daging dan susu lembu dalam masa lima tahun?” soalnya.

10 kilogram surat

Bagi menyemarakkan pengeluaran daging dalam negara, beliau berharap kementerian meneliti semula secara mendalam `10 kilogram surat’ yang ditulis dan diterimanya, termasuk emel, gambar dan pelbagai dokumen berkaitan duka laranya sebagai penternak di PRB.

Katanya, surat-surat berkenaan bukan sekadar surat biasa tetapi mengandungi perincian maklumat, data, mutu perkhidmatan, gambar, harapan serta kajian-kajian kepustakaan berasaskan dokumen, buku-buku pertanian, jurnal ilmiah pertanian, Laporan Ketua Audit Negara, keratan akhbar dan penyelidikan daripada institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara berkaitan jaminan keselamatan makanan negara.

“Semua dokumen dalam simpanan saya boleh dijadikan panduan dan teladan bagi membantu ribuan penternak dan membangunkan ratusan padang ragut di bawah JPV di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN