Hasil jualan dapat sambutan luar biasa - Utusan Malaysia

Hasil jualan dapat sambutan luar biasa

MAT Rozi Abdullah memotong ayam yang sudah ditempah oleh pelanggan di Pasar Simpang Empat, Arau, Perlis. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perantau yang pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri, selepas dua tahun ‘terperuk’ di kediaman masing-masing ekoran penularan Covid-19, memberi seribu satu nikmat kepada golongan peniaga setempat.

Ini kerana hasil jualan mereka mendapat sambutan luar biasa termasuk bekalan ayam dan nasi lemak.

Dalam tinjauan Mingguan Malaysia di Arau, Perlis, permintaan ayam yang tinggi pada minggu perayaan Aidilfitri menyebabkan bekalan ‘licin’ seawal pagi, sekali gus menyebabkan ramai pelanggan pulang dengan tangan kosong.

Seorang peniaga ayam di pasar Simpang Empat, Rahmah Abdul, 73, berkata, pelanggan sudah mula menyerbu pasar dan beratur bagi mendapatkan ayam seawal pukul 7 pagi.

Katanya, mereka yang datang lewat sudah tidak dapat membeli kerana kebanyakan ayam ditempah lebih awal oleh pelanggan.

Jelasnya, sebanyak 220 ekor ayam yang dijual habis dalam masa sejam atau dua jam.

Dia yang mula berniaga sejak kelmarin selepas menyambut Aidilfitri berkata, permintaan pada tahun ini agak luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sementara itu, Mat Rozi Abdullah, 61, yang sudah 30 tahun berniaga ayam di pasar tersebut memberitahu, memandangkan permintaan yang tinggi, dia telah menyediakan sebanyak 1,000 ekor ayam semalam berbanding 600 ekor kelmarin.

Dalam pada itu di Georgetown, Pulau Pinang, peniaga nasi lemak dan kuih-muih tidak menyangka mereka boleh ‘tutup kedai’ awal.

Tinjauan Mingguan Malaysia di sekitar Bayan Baru, Sungai Ara dan Bayan Lepas mendapati, hanya tinggal bekas-bekas kosong di atas meja gerai di tepi jalan mahupun di kompleks makanan sekitar pukul 8.30 pagi.

AFANDI Puteh lega apabila jualan nasi lemak dan kuih-muihnya di pasar Bayan Baru, Pulau Pinang habis dijual dalam tempoh sejam beroperasi sejak hari raya ketiga lalu.

Bukan setakat itu, sebilangan besar peniaga juga dilihat mula mengemas lebih awal berbanding hari kebiasaan iaitu pada pukul 10 hingga 11 pagi.

Pemilik gerai Kuih Station di Astaka Pasar Awam Bayan Baru, Afandi Puteh, 59, berkata, kira-kira 400 bungkus nasi lemak serta 200 jenis kuih-muih habis dijual dalam masa sejam gerai dibuka.

Peniaga roti canai di Kompleks Makanan Rajawali, Aiman Rozaini, 20, pula berkata, kira-kira 100 keping roti canai dijual sekitar pukul 8.30 pagi semalam.

“Memang tak sangka sebab kami baru memulakan perniagaan pada hari raya setelah bercuti panjang sejak Ramadan lalu. Tempahan bukan sahaja diterima daripada pelanggan yang hadir ke kedai, malah menerusi aplikasi penghantaran makanan sejak awal pagi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN