KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman penjara 10 bulan terhadap 33 lelaki yang sebelum ini didenda kerana merusuh di sebuah pusat hiburan di Cheras, 5 April lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin mengenakan hukuman tersebut selepas membenarkan semakan oleh pihak pendakwaan.
Kesemua tertuduh berusia antara 19 hingga 57 tahun diperintah menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mereka ialah Tan Chee Chin, G. Bathmanathan, M. Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.
Tertuduh lain pula ialah Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G. Srikanth, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung.
Dua lagi tertuduh berusia 19 tahun iaitu Alvin Yong Kai Zhe dan Chong You Heng.
Sementara itu, seorang lagi tertuduh, A. Ganesan dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir ke mahkamah hari ini.
Pada 10 April lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada setiap tertuduh yang berusia 21 hingga 57 tahun manakala dua remaja berusia 19 tahun itu didenda RM2,000.
Kesemua tertuduh dikenakan denda tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menyertai rusuhan dan semasa rusuhan itu memiliki senjata api, amunisi, bahan letupan, kayu, batu dan apa-apa senjata yang boleh mencederakan digunakan untuk menyerang di Pusat Karaoke Polygram, Taman Shamelin, Cheras di sini, pada pukul 7.30 malam, 5 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail
menghujahkan bahawa Majistret hanya mengenakan hukuman denda tanpa hukuman lebih berat seperti pemenjaraan.
Jelasnya, keputusan itu tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan kerana kes tersebut melibatkan ramai penyerang dan penggunaan senjata yang boleh mengancam nyawa.
“Orang awam melihat kes ini sebagai serius dan mengharapkan hukuman yang lebih tegas. Persepsi ini penting kerana ia melibatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan.
“Denda yang dikenakan terlalu kecil dan tidak setimpal dengan tahap jenayah. Hukuman tersebut tidak mencerminkan keseriusan perbuatan, terutama apabila terdapat unsur keganasan dan mengancam nyawa,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peguam bela tertuduh, Damien Chan menghujahkan, tiada sebarang kecederaan yang berlaku semasa insiden rusuhan itu.
“Mereka tidak mencederakan sesiapa. Ini bukan kes yang melibatkan kecederaan terhadap orang, sebaliknya hanya melibatkan kerosakan harta benda.
“Selepas prosiding di hadapan Majistret, mereka turut menjalankan rundingan lanjut bagi membayar pampasan terhadap kerosakan harta benda yang disebabkan oleh kesemua tertuduh,” kata peguam itu.
Selain Damien, tertuduh-tertuduh turut diwakili peguam-peguam bela, Ian Hannibal Liang, Ng Choon Kiat dan Ahmad Nur Zharif Rosdi.
Mengikut fakta kes, pada pukul 7.30 malam, 5 April lalu, pihak polis menerima laporan berhubung kes pergaduhan menggunakan lori dan melanggar pintu pagar.
Rakaman mengenai kejadian ceroboh dan rusuhan itu juga tular dengan kelihatan sebuah lori merempuh pagar pusat karaoke berkenaan sebelum lebih 60 individu memakai topeng penutup muka meluru masuk sekitar pukul 1.30 tengah hari. – UTUSAN










