Hanya 15 peratus rakyat terkesan harga diesel tidak tepat - Pas

Hanya 15 peratus rakyat terkesan harga diesel tidak tepat – Pas

HAIM HILMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hanya kira-kira 15 peratus rakyat terkesan akibat kenaikan harga diesel didakwa tidak tepat dan tidak menggambarkan realiti sebenar ekonomi negara.

Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan Pas, Dr. Haim Hilman Abdullah mendakwa, kenyataan itu menunjukkan kelemahan dalam memahami bagaimana struktur ekonomi berfungsi secara menyeluruh.

“Ini bukan isu angka semata-mata, tetapi melibatkan kefahaman asas tentang ekonomi. Diesel bukan sekadar bahan api, sebaliknya nadi utama yang menggerakkan keseluruhan sistem ekonomi. Apabila harga diesel melonjak hampir 50 peratus kesannya tidak berhenti kepada pemilik kenderaan diesel.

“Ia menolak naik kos di setiap peringkat rantaian bekalan kerana barang tidak ‘terbang’ ke pasar raya, ia bergerak dengan lori yang digerakkan oleh diesel. Kesilapan asas adalah melihat kesannya secara langsung dan bukan sistemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa kenaikan harga diesel susulan konflik di Asia Barat hanya memberi kesan kepada 15 peratus rakyat negara ini, manakala 85 peratus lagi tidak menggunakan bahan bakar tersebut mengikut harga pasaran, sebaliknya menerima subsidi ditampung kerajaan.

Ujar Haim Hilman, kesan dalam ekonomi tidak berlaku secara linear tetapi secara berlapis di mana 40 hingga 60 peratus entiti perniagaan berkaitan logistik, PKS, pengilang dan petani terkesan, manakala hampir 100 peratus rakyat terjejas dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Fenomena ini dikenali sebagai ‘kesan pusingan kedua’ iaitu kesan berantai yang sering menjadi punca sebenar tekanan kos sara hidup. Justeru, menyatakan hanya 15 peratus terkesan adalah kenyataan terlalu memudahkan isu kompleks dan pastinya boleh mengelirukan rakyat.

“Sedangkan realiti di lapangan hampir semua rakyat terkesan apabila kos diesel meningkat, kos pengangkutan naik, kos makanan meningkat dan kos operasi perniagaan turut melonjak. Akhirnya, peniaga memindahkan kos ini kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, beliau mempersoalkan keperluan pelaksanaan bantuan bersasar kepada pelbagai sektor ekonomi jika benar hanya sebahagian kecil rakyat terkesan.

“Data program bantuan seperti BUDI menunjukkan wujudnya ratusan ribu pengguna diesel dalam kalangan peniaga kecil dan pengusaha logistik. Ini membuktikan kesannya jauh lebih luas daripada 15 peratus,” katanya.

“Masalah kerajaan adalah gagal membaca ekonomi secara menyeluruh, gagal membezakan antara statistik permukaan dan realiti ekonomi sebenar. Apabila pemimpin hanya melihat siapa guna diesel tetapi tidak melihat siapa terkesan oleh diesel, maka dasar yang lahir juga akan tersasar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN